Berita

Dedah konsesi EDL di Johor, rakyat bayar dua kali untuk projek lebuhraya sama?

JOHOR BAHRU, 4 OGOS: Kerajaan perlu terlebih dahulu mendedahkan konsesi Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan menangguhkan kenaikan kadar tol sehingga 480 peratus yang berkuatkuasa 1 Ogos lalu.

Dalam kenyataan bersama Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pesuruhjaya PAS negeri Aminolhuda Hassan dan Ketua Biro Guaman PKR Johor Jimmy Puah, pendedahan perlu dibuat berikutan pertindihan konsesi antara Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dalam pembinaan EDL dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang mengutip tol di CIQ.

“PLUS telah mengutip tol di CIQ sejak lebih 20 tahun tanpa membina sebarang lebuhraya antara CIQ dengan Lebuhraya Utara-Selatan, dengan anggaran kutipan RM867 juta hingga RM1.5 bilion. Ia melebihi kos pembinaan EDL oleh MRCB iaitu RM977 juta.

“Sepatutnya pembinaan dan penyenggaraan EDL dilaksanakan oleh PLUS dengan menggunakan wang kutipan tol itu. Sebaliknya, ia (EDL) dibina melalui konsesi penswastaan selama 34 tahun oleh MRCB Southern Link Bhd.

“Kerajaan Persekutuan kemudiannya pada tahun 2012 mengambil alih EDL dengan pampasan RM68 juta bagi tempoh April – Disember 2012 dan bayaran RM11 juta sebulan selama tempoh perjanjian konsesi,” katanya.

Pertindihan itu bermakna rakyat membayar sebanyak dua kali untuk satu projek yang sama, iaitu bayaran tol kepada PLUS tanpa lebuhraya dan pampasan kepada MRCB bagi pengambilalihan EDL.

“Maka kami mendesak kerajaan menangguhkan segera kenaikan tol ini, menjelaskan hal ini kepada rakyat dan mencari jalan penyelesaian,” katanya lagi.

Pada 26 Julai lalu, Kementerian Kerja Raya mengumumkan kadar baru tol arah masuk ke Malaysia bagi kenderaan kelas 1 hingga 5 adalah RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80, manakala kadar tol arah ke Singapura pula pada kadar RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50.

Tidak adil banding dengan Singapura

Dalam pada itu usaha sesetengah pihak dibidas kerana membandingkan kenaikan tol di CIQ dengan tindakan Singapura menaikkan caj permit masuk kenderaan (VEP) kepada kenderaan dari Malaysia yang memasuki negara itu, daripada SGD20 kepada SGD35.

“VEP oleh Singapura hanya untuk kenderaan asing (Malaysia). Manakala tol di CIQ dikenakan kepada semua kenderaan. Ia akan membebankan rakyat Malaysia yang bekerja di sana kerana hampir 70,000 kenderaan Malaysia memasuki Singapura setiap hari,” katanya.

Berdasarkan perjanjian pakej tol antara dua negara, Singapura dijangka bakal menaikkan kadar tol agar bersesuaian dengan kenaikan oleh Malaysia, menyebabkan pemandu kenderaan menanggung tol sejumlah RM33 bagi perjalanan dua hala di CIQ Johor Bahru dan CIQ Woodlands.

Menurut laporan The Straits Times 1 Ogos lalu, Perbadanan Pengangkutan Darat (LTA) Singapura akan menaikkan tol dalam masa beberapa minggu lagi, bersesuaian dengan kadar baru oleh Malaysia. – Roketkini.com