Berita

Fitnah DAP ‘ejen Singapura’, MB Johor berfikiran cetek

JOHOR BAHRU, 4 OGOS: Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hanya menunjukkan fikirannya yang cetek apabila memfitnah DAP sebagai ‘ejen Singapura’ berhubung isu kenaikan 480 peratus kadar tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), kata Pengerusi DAP negeri Liew Chin Tong.

Beliau merujuk poster yang disiarkan di laman Facebook ‘Muafakat UMNO Johor’, yang menyiarkan kenyataan Khalid, “ketika rakyat Johor menyambut baik caj VEP kepada kenderaan asing yang diumum PM, ada pula ‘WAKIL RAKYAT’ Singapura di Johor yang tidak setuju.”

Laman itu juga secara semberono mempersoalkan, “Lim Kit Siang ini Ahli Parlimen untuk Malaysia ke Singapura?”

Chin Tong turut menyatakan rasa kesal dengan cubaan Khaled untuk menimbulkan sentimen perkauman berhubung isu itu.

“Khaled cuba menimbulkan fitnah tidak berasas dan memperlihatkan beliau seorang yang berfikiran cetek. Mentaliti sebegini yang ditunjukkan oleh seorang Menteri Besar adalah amat memalukan.

“Malah, kenyataannya di laman Facebook tersebut juga cuba menimbulkan kekeliruan antara caj VEP (Permit Masuk Kenderaan) dengan kenaikan caj tol CIQ,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara kerajaan Singapura hanya mengenakan caj VEP kepada kenderaan dari luar yang masuk ke negara itu, kenaikan melampau kadar tol di CIQ Johor Bahru melibatkan semua kenderaan, termasuk milik rakyat Malaysia.

Kenaikan itu berkuatkuasa 1 Ogos lalu atas alasan membolehkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menambah baik kemudahan dan perkhidmatan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL), yang berhubung dengan CIQ.

“Kenaikan itu sama sekali tidak patut dikenakan memandangkan bukan semua pengguna melalui CIQ melalui EDL,” kata Ahli Parlimen Kluang itu lagi.

Katanya lagi, kenaikan itu akhirnya hanya menjejaskan ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, selain mengancam kegiatan perniagaan dan ekonomi di Johor Bharu.

“Kurangnya pendapatan boleh guna rakyat Malaysia yang tinggal di Johor Bahru dan bekerja di Singapura pasti akan mengancam suasana peniagaan dan ekonomi,” katanya lagi. – Roketkini.com