Berita

Polis ambil keterangan Kit Siang berhubung artikel Teoh Beng Hock

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini memberi keterangan kepada pihak polis berhubung artikelnya mengenai kematian Teoh Beng Hock yang diterbitkan laman web The Rocket 16 Julai lalu.

Keterangan diambil oleh ASP Wan Tiew Kwang dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Ibu Pejabat DAP, Jalan Yew selama 90 minit, bermula jam 10.45 pagi tadi.

Kit Siang turut diiringi oleh peguamnya Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong.

Pada 21 Julai , Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Ahli parlimen Gelang Patah itu akan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung artikel ditulisnya bertajuk ‘Malaysians will not rest until justice is done for the killing of Teoh Beng Hock’.

Khalid menuduh Kit Siang cuba mempengaruhi fikiran rakyat bahawa setiausaha politik Exco Selangor itu dibunuh apabila mempersoalkan mengapa pihak yang terlibat dalam kejadian itu masih belum ditangkap.

Sedangkan artikel itu membangkitkan ketidakadilan dalam kes kematian Teoh Beng Hock di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila pembunuhnya kekal bebas dan tidak dihukum.

Kit Siang turut mempersoalkan hasil laporan RCI yang dibuat secara sambil lalu menyentuh peranan dan tanggungjawab SPRM dan dibiarkan melakukan apa sahaja untuk menjadi sebahagian daripada usaha menutup sebab dan keadaan kematian Beng Hock.

Dalam satu kenyataan pada 22 Julai, Kit Siang mempersoalkan arahan siasatan tersebut dan mencabar Khalid mengemukakan di bahagian mana dalam artikelnya berbaur hasutan.

“Khalid mungkin berharap mencari korban kedua di kalangan pemimpin DAP untuk dibuang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan dipenjarakan kerana Akta Hasutan selepas mendiang Karpal Singh (awal tahun ini),” katanya merujuk hukuman keatas Karpal ekoran kenyataan berhubung rampasan kuasa kerajaan Pakatan Perak oleh BN pada 2009.

Kit Siang turut menyarankan Khalid membaca semula laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu itu yang jelas membayangkan kematian Beng Hock berpunca daripada pegawai SPRM.

“RCI mendapati pegawai SPRM bertindak secara sewenang-wenangnya dan mengabaikan undang-undang, menyebabkan kematian Beng Hock, dan kemudian berpakat untuk menutup kebenaran dengan memberikan bukti palsu.

“Bolehkah Khalid menjelaskan mengapa polis tidak menjalankan siasatan terhadap pegawai SPRM terbabit?” soalnya. -Roketkini.com