Berita

Tiap hari sebar kebencian, Utusan tak payah bermuka-muka -Kit Siang

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Tindakan akhbar Umno Utusan Malaysia menyarankan hukuman dikenakan terhadap bukan-Melayu kerana menghasut adalah tidak masuk akal, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

 Beliau berkata, ia juga sangat ironi kerana akhbar itu sendiri seringkali mengeluarkan artikel berbentuk provokatif dan menghasut kebencian.

 “Ini adalah kemuncak ironi apabila Utusan mengadu wujudnya tindakan terpilih dan siasatan apabila mereka sendiri setiap hari menjadi penerima manfaat terbesar daripada pengabaian tugas oleh agensi penguatkuasaan.

 “Utusan juga terus menikmati ‘imuniti dan impuniti’ atas semua artikel yang berunsur hasutan dan menghasut kebencian kaum serta agama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 Tegas Kit Siang,  antara contoh laporan tidak berasas yang pernah dikeluarkan Utusan adalah seperti mendakwa DAP merancang untuk membentuk negara Kristian dan menjadikan orang Kristian sebagai Perdana Menteri dalam artikel muka depan bertajuk ‘Haram sokong DAP’.

 Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah mencabar Utusan supaya menunjukkan bukti pihak berkuasa berat sebelah terhadap bukan-Melayu.

 “DAP akan menyokong penuh apa jua siasatan terhadap pendakwaan atau tindakan terpilih.

 “Kamu juga akan menyokong Siasatan Diraja (RCI) untuk menutup semua kes berat sebelah sejak permulaan pentadbiran Mahathir lebih tiga dekad lalu.

 “Adakah Utusan akan menyokongnya?” soal beliau.

 Editor Utusan Zulkifli Jalil dalam tulisannya semalam (2 Ogos) di bawah tajuk ‘Mengapa tindakan berpilih-pilih? Takut usik merekakah?’ telah mempersoalkan tanggungjawab pihak berkuasa kerana tidak mengambil tindakan terhadap Kelvin Yip.

Antara lain ditulis Zulkifli adalah seperti berikut:

 “Dalam kes Kiki yang mengherdik seorang warga tua Cina, yang meskipun yang terkena tidak mahu melaporkan kepada pihak berkuasa, pihak berkuasa sendiri pula tetap berkehendakkan gadis itu dihadapkan ke muka pengadilan.

 “Kalau itu rumusannya, mengapa apabila pelakunya daripada kaum Cina yang menghentam, mempersenda serta melempar tohmahan terhadap agama Islam, Raja-Raja Melayu serta orang Melayu, lambat atau tidak ada langsung tindakan dibuat,” sebut artikel terbabit.