Berita

Utusan salah lapor kenyataan Bersih, serlah reputasi buruk dan perkauman

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengecam tindakan akhbar Utusan Malaysia yang memberi gambaran salah mengenai kenyataan media gabungan itu berhubung isu persempadanan semula kawasan pilihanraya berasaskan kaum.

Bersih 2.0 dalam kenyataannya hari ini berkata, editor berita Utusan Malaysia Zulkiflee Bakar dinasihatkan untuk membaca sekali lagi kenyataan yang diterbitkan di laman rasmi gabungan itu pada 31 Julai 2014.

Zulkiflee dilaporkan menulis di Utusan Malaysia semalam bahawa Bersih 2.0 menuduh parti PAS sebagai rasis, selain mendakwa PKR dan DAP berkomplot dengan Bersih 2.0 memberi tekanan agar tindakan dikenakan ke atas Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

“Tidak menghairankan memandangkan reputasi media milik UMNO dan ideologi mereka yang memperjuangkan kaum atas segala-galanya. Ketiadaan pengesahan fakta tidak pernah menghalang Utusan daripada menyiarkan cerita mereka,” kenyataan Bersih 2.0 dipetik.

Tambahnya, peguam Utusan dalam satu perbicaraan sebelum ini pernah berhujah bahawa ‘jika akhbar perlu melalui seluruh proses untuk menentukan apa yang benar, butir-butir, mereka tidak akan dapat melaporkan berita itu pada hari berikutnya” dan tidak mempunyai ‘kelapangan masa’ untuk memeriksa fakta dalam setiap laporan.

“Malah, Utusan telah didapati bersalah di mahkamah kerana membuat laporan yang tidak disahkan dalam beberapa kes dan terpaksa membayar beribu-ribu ringgit pampasan kerana fitnah,” kata Bersih 2.0 dalam kenyataannya.

Dalam pada itu Bersih 2.0 menegaskan, tidak ada ayat dalam kenyataannya menuduh PAS sebagai parti rasis, melainkan teguran kepada parti itu kerana mempertimbangkan kaum sebagai asas strategi persempadanan kawasan pilihan raya.

“Kami menegur PAS kerana mengkhianati janji sendiri bahawa ia sebuah parti untuk semua,” kenyataan Bersih 2.0 dipetik.

Dalam pendiriannya berhubung analisis Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang dibocokan melalui aplikasi WhatsApp Bersih 2.0 menegaskan, persempadanan semula kawasan pilihanraya berasaskan kaum adalah bercanggah dengan Perlembagaan.

Ini kerana persempadanan semula sesuatu kawasan pilihanraya wajar mempertimbangkan kelancaran pentadbiran pihak berkuasa, yang ada hubungkaitnya dengan penduduk tempatan dengan tidak menyatakan mana-mana kaum tertentu.

“Pendirian kami jelas. Kami menentang sebarang persempadanan atau penambahan kerusi berdasarkan kaum. Kami telah mengambil pendirian yang berdasarkan prinsip secara konsisten dan begitu juga halnya dalam kes ini.

“Pendirian kami berpunca daripada hakikat bahawa gerakan Bersih 2.0 disokong oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang etnik, seperti yang terbukti dalam sokongan yang ditunjukkan di semua himpunan Bersih,” tegas kenyataan tersebut. – Roketkini.com