Berita

Kenaikan tol CIQ JB tambah pengguna motosikal, berisiko tingkat kemalangan

JOHOR BAHRU, 5 OGOS: Kenaikan 480 peratus kadar tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) tidak akan mengurangkan kesesakan, dalam masa sama tidak memberi sebarang makna jika perkhidmatan pengangkutan awam tidak ditingkatkan.

Justeru menurut Adun Senai Wong Shu Qi, kenaikan kos perjalanan bakal menambah jumlah pengguna motosikal, sekaligus dibimbangi menyebabkan peningkatan kemalangan melibatkan pengguna kenderaan jenis itu..

“Kenaikan tol dan caj baru akan memaksa lebih ramai orang untuk menggunakan motorsikal. Ini akan meningkatkan lagi risiko kemalangan.

“Jika caj tol dilaksana tanpa sebarang alternatif perjalanan dan menaiktaraf pengangkutan awam, berapa banyak lagi kematian pengguna motorsikal akan melonjak?

“Statistik menunjukkan kemalangan melibatkan pengguna motorsikal tiga kali lebih tinggi daripada kenderaan lain di Malaysia. Akhirnya, akibat sikap tidak bertanggungjawab dan dasar melulu kerajaan, nyawa rakyat tergadai,” kata Shu Qi dalam satu kenyataan.

Tambahnya, peningkatan kadar tol semua jenis kenderaan diantara RM2.90 kepada RM16.50 tidak masuk akal sama sekali, selain memaksa orang awam mengambil risiko.

“Dengan perkembangan pesat Johor Bahru (JB) di tengah pembangunan wilayah Iskandar, semakin ramai rakyat yang memilih untuk hidup dan bekerja merentasi sempadan.

“Pengangkutan awam perlu dipertingkatkan sebelum sebarang kenaikan tol dilaksana. Hanya kerajaan yang tidak bertanggungjawab akan menghukum rakyat supaya memandu kenderaan sendiri tapi mengabaikan pengangkutan awam,” ujarnya. – Roketkini.com