Berita

Najib mungkir janjinya sendiri, kenaikan tol CIQ Johor diteruskan

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memungkiri janjinya sendiri dua tahun lalu untuk tidak menaikkan kadar tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru.

Kenyataan Najib Razak itu dibuat pada 9 Mac 2012 dalam Majlis Makan Malam 1Malaysia di Johor Bahru (JB).

“Dalam majlis tersebut Najib mengatakan ‘tidak ada caj tol akan dikenakan bagi pemilik kenderaan yang tidak menggunakan lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL)’.

“Kali kedua adalah enam bulan kemudian pada September 2012 di Parlimen, dengan mengatakan ‘tidak ada tol untuk EDL.

“Beliau turut mengatakan ia telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Perundingan Ekonomi Negara yang dihadiri wakil-wakil kerajaan negeri Johor.

“Dengan tidak memberikan sebarang penjelasan dan justifikasi terhadap dua janji itu, apakah slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ hanya cakap-cakap kosong? Adakah Najib tidak boleh dipercayai? ,kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan, sebagai pemimpin kerajaan yang sering menjaja slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, Najib tidak boleh memandang ringan janjinya dan mesti menerangkan kepada rakyat kewajaran kerajaan meneruskan kenaikan kadar tol di CIQ Johor.

“Sehingga kini, Najib masih berdiam diri tentang pengumuman secara tiba-tiba 480 peratus kenaikan kadar tol yang memberi kesan buruk bukan sahaja kepada pengguna, malah perniagaan serta ekonomi di selatan Johor,” kata Kit Siang.

Sehubungan itu, beliau menggesa Najib supaya hadir sendiri ke Johor Bahru dan menjelaskan sebab beliau melanggari janjinya kepada rakyat negeri itu.

“Selagi Najib masih belum pergi ke JB untuk memberi penjelasan yang menyakinkan dan boleh diterima berhubung pelanggaran dua pelanggaran janjinya, kenaikan kadar tol diperlu ditangguhkan,” ujarnya. – Roketkini.com