Berita

Pakatan takkan berpecah hanya kerana isu Menteri Besar – Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Pakatan Rakyat (PR) tidak akan berpecah semata-mata kerana pilihan calon Menteri Besar, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, sebagai sebuah pakatan yang memegang utuh prinsip dasar kewibawaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan, PR akan terus bertahan.

“Atas prinsip inilah PR dizahirkan sebagai sebuah kerajaan alternatif untuk rakyat, prinsip yang dicabuli BN sepanjang lima dekad berkuasa.

“Kita tidak akan sesekali menyimpang daripada nilai-nilai asas dan akan terus memastikan kepentingan rakyat.

“Usaha kita tidak sia-sia, kerana kita telah memenangi jiwa dan minda majoriti pengundi Malaysia walaupun dihalang daripada membentuk sebuah kerajaan,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Justeru kata Anwar, perkara tersebut penting untuk difahami kerana sebuah pakatan pembangkang yang kuat telah menekan kerajaan untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan mengekang sebahagian daripada keborosan mereka.

“Bagaimanapun, perjuangan untuk sebuah kerajaan yang benar-benar bersih dan telus masih perlu diteruskan,” tegasnya.

Dalam pada itu kata Anwar, isu pertukaran Menteri Besar Selangor akan diselesaikan secara baik dengan semangat kebersamaan, sama ada melalui proses peralihan yang lancar, undi tidak percaya mahupun pilihanraya.

“Kita juga yakin peristiwa ini (isu MB Selangor) akan terus mematang dan memperkasakan PR. Pakatan bersandarkan tekad rakyat, akan terus bertahan,” ujarnya.

Kata Anwar, tidak ada alasan untuk mengadakan pilihanraya negeri di Selangor memandangkan BN hanya mempunyai 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tambahan kata Anwar, pilihanraya umum ke-13 baru berlalu 15 bulan lalu.

“Sekiranya pilihanraya terpaksa dilakukan, PR bersedia menghadapi para pengundi dan berkeyakinan penuh bahawa rakyat Selangor memberikan sokongan kepada kami,” ujarnya.

Kata Anwar, kekuatan Pakatan Rakyat tidak boleh dibina atas dasar keinginan dan impian semata-mata, lebih bahaya lagi sekiraya kekuatan ini dilandaskan dengan perasaan curiga, dendam dan irihati.

“Ia perlu dibina atas iltizam dan keyakinan, dan inilah kekuatan yang telah mendorong rakan kongsi PR untuk berjuang bersama-sama pada PRU 13 yang lalu.

“Kita perlu menyatukan kekuatan untuk terus kekal bersama dan menolak sebarang percubaan memecahbelahkan kita.

“Setiap parti dalam gabungan ini wajib menghormati sebarang keputusan yang dicapai selepas rundingan bersama,” kata Anwar – Roketkini.com