Rencana

Pembantaian Palestin: Melangkaui Gaza

Sudah tiga minggu sejak pembantaian ini bermula.

Hampir 2,000 rakyat Palestin telah dibunuh dalam konflik Gaza yang masih berlangsung, 80 peratus daripadanya orang awam. Kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Sejumlah 9,000 pula cedera dan hampir setengah juta hilang tempat tinggal.

Israel terus-menerus mensasarkan orang awam. Ia telah mengebom tempat perlindungan, rumah-rumah dan sebuah sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Ada debat yang panjang berjela tentang siapa yang memulakan serangan, siapa yang membunuh tiga remaja Israel, siapa yang mula-mula melancarkan roket dan banyak lagi yang seumpamanya.

Israel menyalahkan Hamas kerana mencabuli perjanjian gencatan senjata tahun 2012, menculik dan membunuh tiga orang remaja Israel. Hamas pula menuding jari kepada Israel kerana menahan 50 tawanan Palestin di Tebing Barat, termasuk sebahagian yang pada mulanya dibebaskan dalam persetujuan pertukaran tahanan.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, sekali lagi, tanpa rasa malu hadir menghulurkan bantuan kepada Israel, menyatakan ia memiliki hak untuk mempertahankan diri. Ketika negara seperti Bolivia, Brazil dan Argentina sekeras-kerasnya mengecam Israel, negara lain kelihatan teragak-agak, terutama kerana ia melibatkan Hamas.

Saya bukan peminat Hamas. Namun kita tidak boleh dengan mudah berpaling menyalahkan mereka.

Kebanyakan media Barat memenuhkan ruang berita mereka dengan laporan pembunuhan remaja Israel sebagai penyebab penyembelihan ini. Namun perlu dinyatakan, sehari sebelum kejadian itu, seorang lelaki dan kanak-kanak berusia 10 tahun warga Palestin terbunuh di Gaza akibat serangan udara Israel.

Baru-baru ini, pegawai Israel menyatakan bahawa Hamas tidak bertanggungjawab ke atas penculikan tiga remaja itu, bertentangan sama sekali dengan Perdana Menteri mereka, Benjamin Netanyahu.

Israel sentiasa menyalahkan ketidaksepakatan di kalangan pemimpin Palestin sebagai punca proses perjanjian damai gagal. Namun ia ternyata tenggelam punca apabila Hamas dan Pihak Berkuasa Palestin (Fatah) mencapai kesepakatan pada Jun lalu.

Perkembangan itu mendorong Netanyahu dengan panik melobi negara-negara Barat untuk memulaukan kepimpinan baru tersebut. Beliau semakin sukar menerima hakikat apabila AS memutuskan untuk bekerjasama dengan kerajaan perpaduan itu.

Oleh itu, adakah Israel merancang keganasan ini untuk menghalang proses damai? Atau adakah pembantaian ini dimulakan bagi mendesak AS agar membatalkan rancangan asal untuk bekerjasama dengan kerajaan Palestin yang berkongsi kuasa?

Walaupun kita mungkin tidak akan mengetahui jawapannya, beberapa fakta sangat jelas. Israel adalah kuasa yang menjajah, justeru menurut undang-undang antarabangsa ia tidak mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada pihak yang dijajah, iaitu Palestin.

Untuk berdekad lamanya, Israel melaksanakan sistem Apartheid, melalui rampasan tanah secara haram dan peluasan penempatan Yahudi di tanah Palestin.

Di bawah Undang-undang Pendudukan, Israel memiliki kewajipan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin. Ia juga mesti melindungi rakyat Palestin yang hidup di bawah pendudukan.

Keengganan Israel untuk mengiktiraf status ‘diduduki’ kepada wilayah Palestin, ditambah pula dengan sokongan AS menyebabkan rakyat di Gaza hidup keluburan dan tanpa keperluan asas.

Maka sekali lagi kita menyaksikan pembantaian dibuat.

Wujudkah sebarang penyelesaian kepada keganasan ini? Jawapannya, ada. Tetapi bagi memulakan proses perdamaian, AS perlu memberi tekanan kepada Israel untuk mengakhiri kepungan terhadap Gaza dan mencari penyelesaian politik yang munasabah, realistik dan mampu bertahan.

Di tanahair, kita merasa gembira melihat rakyat Malaysia bangun bersama-sama untuk mengecam serangan Israel yang sedang berlangsung.

Namun saya juga sedar adanya trend membimbangkan, di mana kita kelihatan tidak ragu-ragu menghentam Israel namun terus membisu apabila berlaku pembunuhan dan pencabulan hak asasi di wilayah lain.

Regim Presiden Bashar al-Assad dalam masa dua tahun ini telah membunuh lebih 180,000 rakyat Syria, kebanyakannya Muslim. Lebih daripada 100,000 etnik Tamil Sri Lanka terbunuh dalam perang saudara selama 30 tahun.

Hampir setengah juta orang Islam dibunuh oleh kumpulan Arab Muslim di Sudan. Militan ISIS (Islamic State in Iraq and Syria) membunuh beribu-ribu orang Islam di Iraq dan Syria dalam tempoh masa dua bulan. Berpuluh-puluh ribu rakyat Afghanistan telah dibunuh Taliban.

Lebih dekat lagi, kita melayan pelarian Muslim Rohingya dan pelarian lain tidak seperti manusia. Keengganan berterusan kerajaan untuk mengiktiraf Konvensyen Pelarian 1951 PBB bermakna mereka akan terus ditindas di Malaysia, diburu polis dan imigresen, serta menderita dalam kemiskinan kerana mereka tidak boleh diambil bekerja. Anak-anak mereka berhadapan dengan masa depan yang gelap kerana mereka tidak boleh diserap masuk ke sekolah kerajaan.

Justeru itu, marilah kita bersatu untuk menentang setiap pelanggaran hak asasi manusia.

Ia bererti kita semua akan bangun demi keadilan dan mengecam keganasan, tanpa mengira di mana ia berlaku, dan siapa pun pelakunya.

*Penulis adalah Ahli Parlimen Klang. – Roketkini.com