KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Projek terowong dasar laut yang menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam di Seberang Prai dijalankan secara tender terbuka dan telus, kata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.
“Saya nak sebut disini, ada rundingan awam dalam tempoh cukup panjang selama enam bulan untuk projek terowong dasar laut.
“Projek itu juga langsung tidak sama dengan kes Khalid (Ibrahim) seperti Tropicana mahupun Eco World, ia dijalankan secara tender terbuka.
“Tender terbuka itu juga adalah kepada semua syarikat antarabangsa dan tempatan,” katanya menjawab soalan hadirin dalam forum Krisis Selangor: Pakatan Rakyat Berpecah? di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), malam tadi.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu juga menyatakan projek terowong dasar laut tersebut dibiayai oleh kerajaan Pulau Pinang kerana Kerajaan Persekutuan enggan menjalankannya.
Tambahnya lagi, kontrak yang dikeluarkan kerajaan negeri untuk tol terowong adalah sama dengan jambatan pertama dan kedua.
“Itulah polisi kerajaan negeri (Pulau Pinang). Dan saya tidak pernah mendengar sebarang masalah atau bantahan mengenainya. Itu bezanya,” ujarnya.
Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini mengumumkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang dijangka siap dalam tempoh 12 tahun sebagai persediaan menjadikan negeri ini sebagai sebuah bandaraya pintar bertaraf antarabangsa.
Pulau Pinang turut giat melaksanakan pelbagai program pemuliharaan, kebudayaan dan warisan bersesuaian dengan taraf George Town sebagai tapak warisan UNESCO. – Roketkini.com