Berita

Hilang minat punca ramai tinggalkan sekolah, dedah IDEAS

(gambar hiasan)

 

KUALA LUMPUR, 8 OGOS – Lebih dua pertiga anak-anak keluarga berpendapatan rendah berhenti sekolah kerana hilang minat, dedah badan pemikir IDEAS dalam kajian terbarunya.

Sebab-sebab lain keciciran termasuklah pencapaian akademik lemah serta kekangan kewangan untuk membayar yuran dan perbelanjaan persekolahan.

Dapatan tersebut adalah hasil kajian yang dibentangkan dalam kertas dasar mengenai masalah keciciran anak-anak sekolah di kalangan golongan berpendapatan rendah di seluruh negara.

Kertas dasar tersebut mengkaji keciciran dari sistem persekolahan arus perdana, termasuk sebab keciciran, apa yang dilakukan oleh anak-anak yang keciciran serta keterlibatan ibu bapa dalam aktiviti pendidikan anak-anak.

Kajian tersebut dilaksanakan pada penghujung tahun 2013 dan melibatkan 1,200 isi rumah berpendapatan rendah di negeri Johor, Kedah, Terengganu, Sabah, Sarawak dan juga Lembah Klang.

Menurut kenyataan IDEAS berhubung kajian ini, 12 peratus daripada isi rumah dengan purata pendapatan RM933 sebulan mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak yang tercicir dari sekolah.

Kajian tersebut turut mendedahkan bahawa anak-anak yang keciciran ini turut mula bekerja mengikut bidang ketua keluarga masing-masing, yang menurut IDEAS menunjukkan kitaran kemiskinan berterusan.

Data penuh kajian tersebut boleh didapati di laman web http://ideas.org.my/?p=8108, manakala kertas dasarnya pula boleh diperolehi di http://ideas.org.my/?p=8613. – Roketkini.com