Berita

Kes Kugan: Keputusan Mahkamah Rayuan petunjuk kelemahan siasatan polis

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi, bahawa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pegawainya bertangunggjawab keatas kematian A Kugan ketika dalam tahanan polis pada lima tahun lalu.

Naib Pengerusi Kebangsaan M Kulasegaran berkata, ia menguatkan lagi kenyataan bahawa wujudnya pelbagai kelemahan dalam siasatan polis terhadap kes tersebut.

“Ini mengukuhkan penghakiman Mahkamah Tinggi yang menunjukkan pelbagai kelemahan dalam siasatan polis sebelum ini.

“Kerap kali penyiasatan (terhadap salah laku polis) dibuat oleh pihak polis sendiri, dan bukannya badan bebas dan berkecuali,” katanya ketika dihubungi Roketkini.com

Katanya lagi perkara itu menyebabkan pelbagai kepincangan dalam siasatan dalam mengakibatkan keluarga mangsa tidak mendapat keadilan.

Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi 26 Jun lalu, bahawa Khalid bertanggungjawab terhadap kematian Kugan ketika ditahan di Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya pada 20 Januari 2009.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wong Dak Wah bersama-sama panel hakim Datuk Ariff Mohd Yusof dan Datuk Mah Weng Kwai turut mencadangkan penyiasatan awam dan bebas diadakan bagi kes seumpamanya.

Mahkamah mengekalkan ganti rugi teladan kepada ibu Kugan, N Indra berjumlah RM851,700, namun membenarkan rayuan bekas pegawai penyiasat V Navindran dan memutuskan beliau tidak bertanggungjawab atas kematian mendiang.

Justeru, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu sekali lagi menegaskan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), apatah lagi insiden sebegini seringkali berulang.

“Kes-kes begini tidak boleh diabaikan kerana sudah kerapkali berlaku. Selagi kerajaan enggan atau melambatkan penubuhan badan siasatan yang bebas, selagi itu mereka yang ditahan di lokap diancam kesusahan.

“Jika negara seperti United Kingdom dan India boleh tubuhkan, saya hairan mengapa kita tidak boleh. Saya khuatir keyakinan rakyat (terhadap badan-badan penguatkuasa) semakin merosot,” katanya lagi.

Tambahnya, penubuhan badan bebas IPCMC telah dicadangkan semenjak 2004 oleh Suruhanjaya Diraja (RCI) yang dianggotai bekas Ketua Hakim Tun Mohamed Dzaiddin, Tun Salleh Abas dan bekas KPN Tun Haniff Omar. – Roketkini.com