Berita

Tol CIQ: Menteri JPM biarkan Najib mungkiri janji?

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar seolah-olah membiarkan Perdana Menteri memungkiri janjinya untuk tidak mengenakan tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, selepas dua tahun pengumuman untuk tidak mengenakan tol di CIQ, Wahid akhirnya mengumumkan bahawa hasil kajian memutuskan tiada keperluan untuk kerajaan mengambilalih Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL).

“Wahid tidak memberi rasional sehingga Perdana Menteri memungkiri dua janji pada tahun 2012 iaitu ‘tiada tol bagi pemilik kenderaan yang tidak menggunakan lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL)’ dan ‘tidak ada tol untuk EDL.

“Apa penemuan baru daripada kajian selama dua tahun yang Najib dan pihak berkuasa tidak tahu mengakibatkan dua janji itu dikhianati? Jika tidak ada, apa sebabnya Najib dibiarkan memungkiri janjinya?

“Adakah Najib akan mengakui bahawa dia bersalah atas niat jahat, tidak jujur dan tidak bertanggungjawab apabila membuat janji tersebut?” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan, Wahid turut gagal menerangkan secara terperinci rasional kenaikan 480 peratus kadar tol yang dibuat secara tergesa-gesa, kurang seminggu selepas pengumumannya.

“Mengapa tidak ada rundingan awam yang betul atau maklum balas sebelum kenaikan dikenakan?” soal Kit Siang.

Beliau turut mengulangi gesaannya terhadap Najib supaya hadir sendiri ke Johor Bahru dan menjelaskan sebab beliau memungkiri janji kepada rakyat negeri Johor.

Pada 5 Ogos lalu, Wahid mengatakan pengenalan kutipan tol di CIQ untuk kenderaan ke Singapura dibuat selepas kajian dilakukan selama lebih dua tahun.

Beliau mendakwa kutipan sepatutnya bermula pada Mei 2012, namun tidak diteruskan kerana pada waktu itu kerajaan mempertimbang untuk mengambil alih Lebuhraya EDL.

Katanya, kewajaran tol dikenakan antaranya untuk memastikan EDL sepanjang 8.1 kilometer, CIQ dan jalan sekitar dapat diselenggara dengan baik.

Justeru itu, kata Kit Siang, hanya Najib yang mampu menjawab soalan berhubung tindakannya memungkiri janji mengenai isu lebuhraya EDL yang dibuat pada 2012.

“Namun lebih penting, apakah janji-janji Perdana Menteri pada masa akan datang boleh dianggap sebagai kenyataan yang berwibawa dan boleh dipercayai?” soal Kit Siang – Roketkini.com