Rencana

Kekal bersama lewat rendang dan sesawang

-Dyana Sofya Mohd Daud

Duduk di belakang, saya cuba menyusun kembali buah fikiran apabila ingatan lama kembali menerjah. Abang sulung saya memandu kereta dan kami di Lebuhraya Utara Selatan, dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, Ipoh, untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kini kami empat beradik sudah dewasa, jarang kami berpeluang untuk melakukan perjalanan jauh bersama-sama. Maka, perjalanan kali ini memberi peluang untuk menjengah kenangan lama.

Sebelum bersara, bapa saya yang kuat bekerja tidak akan mengambil cuti awal sebelum Raya. Akibatnya, kami sentiasa tergesa-gesa pulang ke Ipoh pada malam Raya. Namun, saat-saat ‘kalut’ itu hilang serta-merta apabila kami tiba dan disambut dengan aroma rendang yang harum dan mengujakan. Seperti biasa, ibu saya pulang ke Ipoh beberapa hari sebelumnya untuk membuat persiapan.

Selepas menghabiskan hidangan lewat malam Raya yang sudah menjadi tradisi kami, abang dan adik lelaki saya akan membersihkan rumah sementara saya memberi tumpuan pada tugas-tugas di dapur untuk menyediakan lebih banyak kudapan Raya.

Kami sentiasa kurang tidur pada malam raya, namun segalanya menjadi berbaloi apabila kami menyambut ketibaan Raya keesokannya dengan rumah yang bersih, balang cantik yang dipenuhi biskut yang baru dibakar, baju baru yang tersusun cantik dan, paling penting, masakan istimewa ibu saya -juadah istimewa yang merupakan gabungan antara laksa johor dan mee kari.

Ringkasnya, Raya sentiasa menjadi waktu untuk bersama-sama dengan keluarga. Kami mengenang kembali kisah lalu, saling berkongsi perkembangan terbaru, ‘bergaduh’ tentang iklan raya terbaik (tentunya Yasmin Ahmad), menikmati juadah lazat yang dimasak sendiri dan sama-sama berkeringat melakukan acara tahunan membersihkan seluruh bahagian rumah.

Bagi saya, inilah makna keluarga. Sentiasa bersama mengharungi pahit dan manis, saat sukar dan senang. Sama ada untuk membersihkan sesawang pada sudut paling jauh di siling, atau berkongsi sesenduk penuh rendang yang pedas. Paling penting, kita semua bersama dan tiada sesiapa yang dipinggirkan.

Ketika bersama-sama menikmati rendang ibu pada tahun ini, perbualan kami tentulah sudah berkembang. Yasmin Ahmad sudah tiada, dan Teluk Intan ‘berlalu’. Berbanding gosip keluarga seperti selalu, kami sebaliknya berbincang tentang golongan gelandangan di Kuala Lumpur dan bagaimana mereka dihalau dengan penuh biadab, sama ada mereka suka atau tidak. Paling teruk, satu-satunya sumber makanan mereka dinafikan, apabila dapur jalanan yang dikendalikan sukarelawan yang prihatin diarahkan menghentikan kegiatan mereka.

Saya memberitahu keluarga, layanan yang diberikan kepada gelandangan terlalu dingin, sehingga palang besi dipasang di bangku sekitar kota bagi menghalang mereka berbaring di atasnya. Tidak dapat tidak, saya melihat bangku-bangku itu dengan rasa benci, ketika membeli-belah untuk persiapan Raya di Jalan TAR. Kemerosotan apa yang melanda masyarakat kita, apabila pegawai kerajaan kita seperti bersikeras untuk menjadikan kehidupan golongan yang sedia susah, bertambah sukar?

Namun, seperti semua kisah yang bagus, ada cahaya di penghujung terowong. Berikutan kenyataan angkuh menteri tentang gelandangan yang mencemarkan kota’nya’, ramai rakyat bangkit membidas beliau. Kota ini milik penduduknya, dan ia bermakna setiap insan, tanpa mengira kaya atau miskin, berumah atau tidak.

Satu lagi topik yang tidak dapat dielakkan tentunya tentang bencana menimpa dua pesawat penerbangan negara tahun ini. Pertama, MH370 hilang, diikuti MH17 yang menjadi mangsa perang saudara yang langsung tiada kaitan dengan kita. Bagi keluarga dan rakan kepada mereka yang terkorban, pastinya bencana ini adalah sesuatu yang malang dan kejam. Merasa tidak berdaya, kita sepakat bahawa apa yang boleh dilakukan adalah berdoa, memberikan mereka galakan dan sokongan tak berbelah bagi, dan terus menuntut keadilan.

Akhir sekali, kami juga menyentuh tentang perlanggaran keselamatan yang terjadi di Sabah. Kesedihan berganti kekecewaan apabila kami berbincang tentang betapa longgarnya sempadan kita, dan bagaimana penceroboh dapat tinggal selama dua minggu sebelum serangan balas dilancarkan. Sementara kita semua yakin bahawa Malaysia Airlines (MAS) masih lagi salah satu syarikat penerbangan paling selamat di dunia, kami tidak boleh mengatakan hal yang sama tentang Sabah selepas siri penculikan, pembunuhan dan pencabulan kawasan berlaku sepanjang tahun lalu.

Di saat saki-baki rendang dihabiskan, saya menyedari yang semua kami bincangkan lewat hidangan lewat malam hanya memperkukuh keperluan untuk berjuang ke arah negara yang lebih baik.

Jika ada rakyat yang hidup sebagai gelandangan, ia disebabkan sistem yang rosak. Ketika Perdana Menteri berdegar-degar tentang mencapai status pendapatan tinggi pada tahun 2020, berjuta rakyat kekal terpinggir daripada arus kemajuan. Negara kita memiliki kadar tertinggi jurang pendapatan di Asia Tenggara, dan ini dibuktikan dengan hakikat bahawa lebih dua pertiga rakyat adalah penerima BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Pada masa sama, cara angkuh pemimpin kita menangani gelandangan seolah-olah sebagai tikus yang tidak diingini hanya menunjukkan bahawa mereka sama ada jahil dengan masalah sosial yang berlaku atau terlalu angkuh untuk mengambil peduli.

Walaupun bencana yang menimpa dua pesawat kita adalah hal yang malang, ia sekurang-kurangnya berjaya menyatukan rakyat Malaysia daripada setiap golongan, tanpa mengira kecondongan politik, warna kulit dan latar belakang. Perpaduan seperti ini di kalangan rakyat amat diperlukan ketika pihak tidak bertanggungjawab sentiasa mengambil peluang untuk membangkitkan ketegangan kaum dan agama.

Apa pun, kemakmuran sosio-ekonomi, tadbir urus yang lebih baik dan perpaduan nasional hanya boleh dicapai dengan niat yang baik. Maka, pada Aidilfitri ini, marilah kita memohon kemaafan dan bermula semula. Kita semua boleh melakukannya, dengan berkunjung ke rumah keluarga dan rakan, berkongsi makanan dan kediaman, dan kekal bersama lewat rendang dan sesawang.

Salam Aidilfitri. Maaf zahir dan batin. – Roketkini.com