Berita

Nasrudin Tantawi musuh dalam selimut PR – Lim Hock Seng

GEORGE TOWN, 9 OGOS: Ahli Parlimen PAS Temerloh Nasrudin Hassan Tantawi adalah musuh dalam selimut Pakatan Rakyat, kata Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Lim Hock Seng.

Beliau berkata, serangan Nasrudin ke atas Kerajaan Negeri berhubung pembinaan terowong dasar laut adalah fitnah jahat dan tidak benar sama sekali.

“Saya ingin menafikan dakwaan tidak berasas Nasrudin. Projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dibuat secara rundingan terus, kenyataan telah dibuat pada 15 Mac tahun lalu.

“Nasrudin telah membuat fitnah jahat. Saya sedia memberikan bukti dan keterangan di mahkamah bahawa projek tersebut dijalankan secara tender terbuka dalam istilah sebenarnya mengikut piawaian serta takrifan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Hock Seng, projek tersebut yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi bahagian utara negeri.

“Betapa besarnya dampak penggerak ekonomi daripada satu laluan boleh dilihat bila Jambatan kedua negeri siap dibina dan dibuka pada 1 Mac 2014 di Seberang Perai Selatan, sekaligus menukar wajah kawasan itu.

“Penerimaan rakyat negeri terhadap projek itu telah diputuskan dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 lalu.

“Rakyat telah memberikan sokongan paling besar dalam sejarah negeri dengan mandate undi 68 peratus,” ujarnya. -Roketkini.com