Berita

Pemuda DAP sokong penuh tindakan saman terhadap Nasrudin Tantawi

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Pemuda DAP (DAPSY) menyokong penuh tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan Tantawi kerana memfitnah Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ketua DAPSY Teo Kok Seong berkata, beliau kesal dan kecewa terhadap kenyataan fitnah Nasrudin yang jelas mengkhianati semangat setiakawan Pakatan Rakyat (PR).

“Walaupun dakwaan jahat itu segera diperbetulkan Guan Eng dan memberi masa setimpal kepada Nasrudin untuk memohon maaf, malangnya beliau gagal berbuat demikian, malah terus menabur fitnah.

“Demi menjaga maruah dan menegakkan integriti Ketua Menteri serta seluruh pimpinan PR di Pulau Pinang, DAPSY menyokong penuh tindakan undang-undang ke atas Nasrudin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah menyatakan, biarpun menjunjung tinggi kebebasan bersuara dan perbezaan pandangan, namun ia tidak bermakna mana-mana pihak atau individu, bebas membuat fitnah.

“Kenyataan Nasrudin langsung tidak memberi manfaat kepada PR khususnya ketika krisis Menteri Besar sedang berlaku di Selangor, malah ia lebih memburukkan lagi imej PR.

“Kami menyifatkan kelakukan tersebut sebagai satu pengkhianatan terhadap kesepakatan yang didukung DAP, PAS dan PKR,” tegasnya.

Kok Seong turut menyeru semua pihak supaya bertindak lebih matang dalam menyatakan pandangan, khususnya melibatkan krisis politik di Selangor.

“Kami mendukung pendekatan muafakat dan meletakkan kepentingan kolektif dalam menangani krisis tersebut seperti dalam kenyataan bersama Pemuda PR, 7 Ogos lalu,” katanya. -Roketkini.com