Berita

DAP sokong penuh pertukaran MB, mohon Khalid letak jawatan serta merta

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: DAP hari ini mengisytiharkan sokongan penuh cadangan PKR untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar (MB) Selangor.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyatakan, kesemua 15 Adun DAP Selangor juga telah menyatakan sokongan kepada cadangan tersebut.

Sehubungan itu, DAP menggesa Khalid supaya menerima keputusan itu dan meletak jawatan serta merta.

“Khalid tidak lagi mempunyai mandat demokrasi dan kuasa yang sah untuk kekal sebagai MB Selangor berikutan penyingkiran dari PKR dan beliau harus meletakkan jawatan serta merta,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat resolusi Jawatankuasa Eksekutif (CEC) DAP, hari ini.

Guan Eng menegaskan, semua tiga Exco negeri dari DAP juga akan kekal dalam jawatan mereka dalam tempoh peralihan sehingga MB baru dilantik.

“Pakatan Rakyat (PR) kekal sebagai kerajaan yang stabil dan sah di Selangor dengan 43 Adun daripada 56 keseluruhannya.

“Pengaturan peralihan perlu bagi memastikan pentadbiran Selangor berterusan sehingga perlantikan MB baru,” ujarnya. – Roketkini.com