Berita

Pecat Khalid Ibrahim, DAP setuju keputusan PKR

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Timbalan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo menyifatkan keputusan PKR memecat Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai langkah tepat.

“Pada saya ia adalah satu langkah ke arah yang tepat. Khalid telah diberi peluang untuk membela diri.

“PKR mempunyai hak untuk mendisiplinkan ahli-ahlinya. Terdapat proses pengadilan yang terbuka.

“Dalam kes ini, berdasarkan keadaannya, PKR wajar memecat beliau,” katanya yang juga merupakan Ketua Biro Undang-Undang DAP.

Lembaga Disiplin PKR semalam telah mengumumkan pemecatan Khalid dengan serta-merta.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Dr Tan Kee Kwong berikutan keengganan beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Menurut Kee Kwong, Khalid juga telah mengingkari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang sebulat suara memilih Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon MB baru.

Khalid turut ingkar keputusan yang dicapai Majlis Presiden PR supaya menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2.

“Beliau gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden PR yang dipersetujui sendiri oleh beliau untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air negeri.

“Khalid berkeras untuk meneruskan pembinaan Lebuhraya KIDEX walaupun beliau telah diarahkan untuk mengkaji semula projek tersebut kerana bertentangan dengan matlamat dan manifesto PR.

“Beliau turut gagal memberikan penjelasan sepenuhnya kepada Majlis Presiden PR mengenai isu pelupusan hutang dengan Bank Islam bernilai hampir RM70 juta,” tegasnya. -Roketkini.com