Rencana

Bahagian I: Hujung hayat empayar Osmaniah

turkiEmpayar Osmaniah dianggap sebagai khilafah terakhir dalam sejarah. Sejak awal keruntuhan empayar ini, telah banyak percubaan dibuat untuk menghidupkan semula sistem khilafah dan memperkenalkan khalifah baru untuk umat Islam. Tidak sedikit Muslim di seluruh dunia berangan untuk menghidupkan semula khilafah dan mereka secara romantis mengenang Osmaniah.

Sejauh mana sebenarnya kita mengenal empayar Osmaniah? Apakah ia masih relevan dengan dunia semasa? Sebanyak mana pengajaran dapat ditimba daripada sejarah empayar tersebut? Siri rencana ini akan membentangkan serba sedikit sejarah Osmaniah, latar politik Turki serta suasana semasa.

Empayar Osmaniah terbina atas sistem pemerintahan khalifah dan berkuasa sejak tahun 1300 hingga 1928. Empayar yang gah dan menggerunkan dunia ketika itu telah berjaya menakluk beberapa buah negara, termasuk sejumlah besar kawasan tanah Eropah.

Empayar yang makmur ini bertahan dan saling bersilih-ganti antara pemerintah yang adil dan zalim. Walaupun begitu, secara puratanya, ia ditadbir dengan konsep kebajikan serta berlandaskan perkembangan teknologi. Pada zaman gemilangnya, berlaku pembongkaran ilmu baharu secara pesat dalam segenap bidang.

Tempoh 600 tahun penguasaan Osmaniah mengalami kemerosotan di hujung dinastinya – berpunca daripada pelbagai asbab, antaranya pembaziran wang negara, di mana rakyat yang hidup mewah dikenakan cukai dan setiap kutipan direkodkan, malangnya perbelanjaan negara tidak direkodkan; pendidikan yang tidak selaras seperti sebelumnya, iaitu apabila sekolah kerajaan dan swasta telah mengasingkan aspek kerohanian dan intelek; wujudnya musuh dalam selimut yang telah bekerjasama dengan kuasa luar; revolusi beberapa buah negara Arab dek faham Wahabisme; dan kegilaan kuasa oleh Pasha (gabenor negara).

Dalam keadaaan kritikal ini, Khalifah ke-32 (berkuasa tahun 1861-1876) empayar ini telah lahir dengan idea reformasi. Sultan Abdul Aziz sebagai seorang yang berpandangan jauh telah membuka paradigma baharu buat bangsa Osmanli dan seluruh masyarakat Muslim ketika itu. Menyelaraskan Islam dengan perkembangan dunia semasa menjadi tema utama sultan ini.

Pada eranya, beliau telah memulakan pasaran terbuka bagi pelabur dunia, menyebarkan fesyen Osmaniah dan falsafah sebagai pembudayaan dan penjajahan versi baharu. Selain mewajibkan rakyat menguasai bukan sahaja bahasa Osmanlica (Turki lama), Arab, dan Parsi seperti era sebelumnya, beliau turut memperkenalkan bahasa-bahasa Eropah kepada rakyat, menyelaraskan pendidikan moden dan tradisi kerohanian Islam, meneruskan program “tanzimat”, menggalakkan pembelian dan perkhidmatan dari luar dalam tekonologi perubatan, kenderaan, pembinaan, percetakan dan lain-lain.

Tidak terhenti di situ, masyarakat Osmaniah telah menjadi role-model kemajuan kepada Eropah dan Asia. Beliau turut menghantar beberapa anak pintar yang telah diuji kecedasan dan kemampuan mereka menguasai pelbagai pengetahuan bagi dihantar ke Perancis untuk membawa falsafah baru, gabungan antara falsafah Osmaniah dan liberalisme. Projek ini adalah projek gergasi oleh sang sultan, dinamakan projek Genc Osmanlilar (Pemuda Osmaniah) dan diketuai oleh Namik Kemal.

Reformis Genc Osmanlilar vs Genc Turkler

Namik Kemal, Ali Suavi, Ziya Pasha, dan Mehmet Ali Pasha adalah anak-anak terpilih yang telah dilatih di bawah pendidikan Osmaniah untuk mendalami ilmu falsafah, kerohanian-sufisme, fiqh, bahasa. Mereka melanjutkan pelajaran di bawah projek Sultan Abdul Aziz.

Setelah pulang dari Perancis, mereka ini menubuhkan gerakan Genc Osmanlilar dan bersedia membawa pembaharuan. Selain menulis majalah dan novel bagi mengubah lanskap pemikiran, mereka juga turut mencadangkan penubuhan parlimen berkhalifah. Mereka turut menubuhkan sekolah swasta yang mempunyai keunikan sistem tersendiri.

Malangnya, dalam masa yang sama sekumpulan yang lebih radikal, dinamai Yeni Turkler/Genc Turkler (YoungTurk), diangotai oleh beberapa angota tentera seperti Mustafa Kemal dan mereka yang berpendidikan luar negara, telah meng-hijack gerakan Genc Osmanlilar. Mereka menyusup masuk dan akhirnya merosakkan reformasi pemerkasaan sosial dan politik kepada anti-khalifah dan membawa idea kemandirian bangsa Turk. Semangat rasisme yang mengobarkan ketuanan bangsa Turk langsung menafikan kewujudan dan sumbangan bangsa Arab, Kurdish, dan lainnya dalam pembangunan negara. Mereka juga menggerakkan modernisasi pendidikan dengan membelakangi aspek rohaniah dan tradisi apabila pengajian kerohanian yang dianggap memundurkan fikiran rakyat tidak disertakan dalam sukatan pelajaran dan cuba dihapuskan. Klimaks kepada tindakan demi tindakan ini ialah ke arah pemisahan kerjasama kuasa Jerman daripada ketenteraan Osmaniah pada era khalifah seterusnya.

Abdul Hamid II yang sadis

Abdul Hamid II (khalifah ke-34) pula muncul dengan agenda membayar hutang negara dan hutang istana yang melampau jumlahnya – terjadi kerana istana gagal merekodkan jumlah kredit tahunan, membuatkan mereka menjadi terlalu boros. Wang perbelanjaan mengalir keluar bagaikan air.

Selain itu, Abdul Hamid II juga bangkit dengan semangat untuk mendepani gerakan ketenteraan musuh iaitu Russia, British dan sekutu Eropah mereka yang sedang berahi mengambil semula wilayah Eropah Muslim. Menerusi pakatan ketenteraan bersama Jerman yang berkecuali daripada blok Eropah, kerajaan Abdul Hamid II menjadi lebih terjamin.

Namun, beliau membuat kesilapan dengan membekukan parlimen dek rasa tergugat dengan suara-suara kritis dari parlimen. Beliau terlalu paranoid dan bimbang tangan luar yang mencatur boneka-boneka mereka dalam kerajaannya. Kesilapan besar ini seterusnya mengheret kepada kejatuhannya sendiri apabila rakyat merasa semakin sukar bersuara. Gaya hidup yang tidak mesra rakyat kerana ketakutan dan kesibukannya membuatkan sebahagian besar rakyat mula mual, tambahan pula Young Turk sedang mengapikan perasaan rakyat.

Walaupun ketua Young Turk, seorang panglima tentera ketika itu, iaitu Mustafa Kemal, dipenjara buat seketika waktu, gerakan ini terus marak mempengaruhi rakyat, terutama di kalangan anggota tentera. Akhirnya atas pengaruh Ataturk Jerman terpisah daripada ketenteraan Osmaniah secara beransur.

* Penulis adalah mahasiswa bidang sains politik di sebuah universiti di Istanbul.