Berita

Pemecatan Exco Selangor tidak sah, Pakatan minta semua kekal bertenang

PETALING JAYA, 12 OGOS: Penyokong Pakatan Rakyat diminta bersabar dengan kerenah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang petang tadi bertindak memecat enam orang Exco daripada PKR dan DAP.

Dalam sidang media selepas mesyuarat tergempar pimpinan kedua-dua parti tersebut malam tadi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi peringatan kepada Khalid agar menghormati prinsip demokrasi.

“Pilihan rakyat sudah jelas menjadikan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan Selangor, bukan Khalid sebagai kerajaan,” ujarnya.

DAP dan PKR dalam sidang media bersama tersebut menyatakan bantahan kepada keputusan yang dibuat Khalid Ibrahim.

Guan Eng turut berkata bahawa beliau telah pun menghubungi Setiausaha Agung PAS Mustapa Ali bagi menyampaikan hasrat Pakatan Rakyat supaya Exco PAS yang berbaki empat orang tidak menghadiri mesyuarat exco esok sebagai tanda setiakawan bersama rakan-rakan DAP dan PKR.

Kesemua ADUN dan Exco DAP dan PKR hadir ke mesyuarat malam tadi sebulat suara membantah tindakan Khalid yang disifatkan tidak beretika dan tidak mempunyai legitimasi.

Pemecatan EXCO tidak sah

Dalam sidang media berasingan ADUN Sungai Pinang Datuk Teng Chang Khim memberitahu bahawa hanya Sultan yang boleh memberhentikan khidmat ahli Exco menurut Perkara 53(7) Perlembagaan Negeri Selangor.

“Surat Tan Sri Khalid mengatakan bahawa Sultan telah setuju tetapi kita tahu Khalid tidak tinggalkan pejabat.

“Ini ertinya Khalid berbohong, beliau belum mengadap Sultan. Pemecatan exco tidak sah dari segi undang-undang,” ujar beliau.

“Khalid tidak ada legitimasi utk pecat anggota kerajaan Pakatan,” tambah beliau lagi memandangkan Khalid telah pun dipecat daripada partinya.

“Semua ahli exco akan terus bekerja dan balik ke pejabat.”

Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong menyifatkan ini kali pertama dalam sejarah majoriti exco dipecat.

Beliau mengulangi hasrat Pakatan memohon rakan-rakan PAS untuk tidak hadir ke mesyuarat exco sebagai tanda setiakawan. – Roketkini.com