Berita

Penukaran MB Selangor: DAP mohon PAS segera nyatakan pendirian.

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini memohon kepimpinan PAS agar segera menyatakan apakah mereka menyokong penukaran Menteri Besar (MB) Selangor bersama rakan lain dalam Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, PAS tidak boleh lagi menunggu sehingga 17 ogos memandangkan Umno telah mengisytiharkan sokongan penuh dan tanpa syarat kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai MB.

“Jika PAS enggan menyokong penukaran MB dari Khalid kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ia akan membawa perpecahan dan pengakhiran PR di Selangor dan juga di peringkat kebangsaan.

“PAS tidak boleh lagi menunggu sehingga 17 Ogos kerana Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan bahawa 12 Adunnya menyokong Khalid.

“Jadi, PAS perlu segera menyatakan pendirian mereka,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, sebarang kelewatan untuk menyatakan pendirian tidak boleh diterima kerana ia jelas mengetepikan mandat pengundi yang telah memilih 15 orang Adun PAS pada Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 tahun lalu.

“Bolehkah kesemua 15 Adun PAS ini mengatakan bahawa mereka bersama atau tidak dengan Umno dengan menyokong Khalid?

“Jika PAS mengatakan tidak akan bersama Umno, ini akan membantu menjelaskan bahawa mereka bersetuju menggantikan Khalid tetapi ingin menunggu sehingga 17 Ogos untuk membuat keputusan menyokong Wan Azizah sebagai calon pengganti.

“Kegagalan PAS menyatakan pendirian hanya akan terus menghakis sokongan dan menghancurkan keyakinan pengundi,” tegasnya. -Roketkini.com