Berita

Kenaikan CIQ: Kerajaan kini jadi jurucakap propaganda MRCB?

JOHOR BAHRU, 13 OGOS: Adakah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya kini sudah menjadi jurucakap dan alat propaganda kepada Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB), melawan bantahan rakyat berhubung kenaikan melampau tol Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ)?

Demikian pertanyaan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berhubung sikap kerajaan yang bersungguh-sungguh menyokong propaganda MRCB menggunakan sentimen ‘kenegaraan’ sebagai alasan kenaikan tol itu.

Beliau mempersoalkan tindakan Pengarah LLM Datuk Ismail Md Salleh yang mengulang semula hujah MRCB berhubung isu dalam taklimat media di Kuala Lumpur Isnin lalu.

“Adakah Ismail ‘dihantar’ (sanctioned) kerajaan untuk menyokong propaganda MRCB? Adakah LLM dan Kementerian Kerja Raya, malah seluruh kerajaan Barisan Nasional kini menjadi jurucakap kepada MRCB?

“Saya mendesak Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof untuk memberikan penjelasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Adun Senai Wong Shu Qi sebelum ini memetik laporan Sin Chew Daily, bahawa MRCB menyifatkan kenaikan itu tidak membebankan ekoran rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura mendapat gaji yang tinggi, serta tidak perlu membayar cukai di Malaysia.

Malah menurut laporan itu lagi, MRCB juga menyifatkan mereka menggunakan lebuhraya itu secara percuma kerana tidak membayar cukai.

“Hujah itu mengatakan kononnya mereka yang menggunakan CIQ adalah golongan yang tidak cintakan negara dan memilih untuk bekerja di Singapura. Oleh kerana mendapat gaji besar, mereka perlu membayar bagi pengguna lain yang melalui Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL),” kata Chin Tong.

“Mengapa perlu melaga-lagakan pengguna CIQ dengan pengguna EDL, sedangkan Perdana Menteri sudah berjanji bahawa tidak akan ada tol di EDL, dan tiada kenaikan di tol CIQ.

“Kemudian, anggapan bahawa rakyat yang bekerja di Singapura adalah golongan berada tidak semestinya benar. Sektor logistik akan terkesan dengan kenaikan ini, yang akan mempengaruhi inflasi. Mereka yang menggunakan bas kilang dan pengangkutan awam juga akan menerima kesan,” katanya menyangkal hujah MRCB.

MRCB bakal untung RM13 juta sebulan

Dalam pada itu, Chin Tong turut mengulas laporan The Edge Weekly yang mengatakan MRCB bakal mendapat keuntungan RM13 juta sebulan selepas kenaikan yang bermula 1 Ogos lalu.

Pengguna kini perlu membayar RM16.50 untuk laluan dua hala, berbanding RM2.90 sebelum ini. Lebihan RM13.50 itu akan diperoleh MRCB.

“Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding pampasan RM11 juta setiap bulan yang diberikan kerajaan persekutuan sejak Mei 2012.

“Jika benar, ia bermakna jumlah itu datang dengan merampas pendapatan boleh guna rakyat.

“Sementara MRCB menikmati keuntungan, ini memberi kesan (buruk) kepada ekonomi di Johor Bahru dan negara,” katanya lagi. – Roketkini.com