Berita

Khalid Ibrahim hina sistem demokrasi negara

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Sekumpulan penggerak masyarakat sivil hari ini menggesa Tan Sri Khalid Ibrahim supaya meletakkan jawatan dengan segera kerana telah menghina sistem demokrasi negara.

“Dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 tahun lalu, pengundi Selangor telah memilih Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

“Selangor tidak mengamalkan demokrasi presiden, jadi Khalid tidak mempunyai mandat peribadi, bukan saja untuk kekal memegang kuasa, tetapi mengumumkan pemecatan enam Exco DAP dan PKR yang secara langsung mengecam demokrasi serta mengkhianati pengundi.

“Berdasarkan Perkara 53 (6) Perlembagaan Negeri Selangor, Khalid juga telah menghina dan merampas kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor apabila mengumumkan pemecatan Exco,” kata 11 NGO itu dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

NGO terbabit juga menyifatkan kenyataan Exco PAS Sallehan Mukhyi yang menyatakan partinya menyokong Khalid secara bersendirian dan bukannya bersama Umno sebagai cacat.

“Kerajaan yang hanya disokong oleh 16 ahli tidak boleh memegang tampuk pemerintahan, ini jelas amat mengelirukan.

“Semua parti termasuk Istana, PR, PAS dan Khalid seharusnya bertindak mengikut Perlembagaan Negeri Selangor, kebiasaan demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan untuk menamatkan krisis ini sekaligus memulihkan kerajaan yang sah,” tegasnya.

Antara 11 NGO yang bersama menandatangani kenyataan tersebut adalah Dewan Perhimpunan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Lim Lian Geok Cultural Development Centre (LLG), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS).

Selebihnya adalah Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (Permas), National Indian Rights Action Team (NIAT), Persatuan Bekas Siswazah Universiti dan Kelej di China, Malaysia (Liu-Hua), Japan Graduates Association Malaysia (JAGAM) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI). -Roketkini.com