Berita

“Rakyat pilih kerajaan Pakatan Rakyat bukan kerajaan Khalid Ibrahim”

SHAH ALAM, 13 OGOS: Rakyat Selangor memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri ini sebagai satu pasukan, bukannya atas kapasiti individu kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang dan Kemiskinan V Ganabatirau.

Beliau berkata, tindakan Menteri Besar yang disingkir PKR Tan Sri Khalid Ibrahim memecat lima orang Exco DAP dan PKR serta mengosongkan pejabat adalah tidak sah dan tidak mengikut prosedur undang-undang.

“Kami bekerja mewakili rakyat kerana dipilih oleh rakyat. Kerajaan Selangor adalah kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat.

“Rakyat memilih Pakatan Rakyat (PR) bukan kerajaan Khalid,” tegasnya ketika dihubungi Roketkini

Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata pemecatan yang dibuat Khalid bercanggah dengan Seksyen 53(2)(b) Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

Pemecatan itu katanya, tidak efektif kerana belum mendapat perkenan Sultan Selangor dan Khalid jelas tidak melalui proses berkenaan.

“Beliau sehari suntuk berada di pejabatnya dan kami menerima surat pemecatan pada lewat petang semalam (kelmarin). Bila beliau berjumpa Sultan?

“Saya menggesa Khalid mengemukakan surat pengesahan daripada Sultan yang memperkenan pemecatan kami,” katanya.

Ganabatirau turut menyatakan rasa kesalnya dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri PAS menghadiri mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Selangor bersama Khalid pagi tadi.

“Saya kecewa dan kesal dengan tindakan empat rakan kita (Exco PAS) yang bukan saja hadir ke mesyuarat, malah membuat sidang media bersama Khalid. Jelas bahawa PAS tidak menunjukkan semangat kebersamaan PR,” katanya yang juga merupakan Adun Kota Alam Shah. -Roketkini.com