Berita

Khalid hilang kelayakan MB, 30 Adun sokong Wan Azizah

SUBANG JAYA, 14 OGOS: 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Selangor hari ini dengan rasmi menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah sebagai Menteri Besar, sekaligus menghilangkan mandat Tan Sri Khalid Ibrahim untuk terus kekal memegang jawatan itu.

“Dengan ini, saya mengumumkan bahawa 30 Adun Pakatan Rakyat, termasuk saya telah menyatakan rasa hilang percaya kami kepada Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

“Mereka juga menyatakan sokongan kepada saya untuk mengambil alih tugas itu. Pendirian mereka dinyatakan secara bertulis di dalam Akuan Bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka, selain hadir sendiri pada hari ini,” kata Wan Azizah dalam sidang di media di Hotel Empire di sini tadi.

Katanya lagi, perkembangan terbaru ini mengesahkan Pakatan Rakyat mempunyai majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri, sekurang-kurangya dengan empat ahli.

Selain semua Adun DAP dan PKR, turut hadir dua Adun PAS; iaitu Saari Sungib (Ulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib)

Satu surat permohonan mengadap juga telah dihantar kepada DYMM Sultan Selangor pagi tadi, bagi memohon mengadap Tuanku dan mempersembahkan sokongan itu.

Turut dilampirkan adalah SD kesemua Adun tersebut.

Surat tersebut juga bagi memohon pandangan Tuanku jika ada keperluan bagi memanggil sidang DUN bagi memuktamadkan proses pertukaran MB.

Sehubungan itu, Wan Azizah menggesa agar Khalid menghormati undang-undang dan prinsip demokrasi, dengan meletakkan jawatan serta tidak lagi membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan pentadbiran negeri.

“Beliau seharusnya memudahkan peralihan kuasa agar berjalan dengan tertib dan tidak membuat sebarang keputusan dasar atau pentadbiran sebagai MB,”katanya.

“Saya juga memuji kesabaran rakyat Selangor dalam menghadapi perkembangan politik ini dan agar terus bertenang sementara menunggu ia diselesaikan melalui jalan perundangan,” katanya lagi.