Berita

Khalid Ibrahim berbohong dengan Tuanku Sultan – Guan Eng

SUBANG JAYA, 14 OGOS: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah berbohong kepada Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj kononnya mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri ketika memohon perkenan untuk terus kekal sebagai Menteri Besar.

Hakikatnya Khalid tidak pun mempunyai sebarang sokongan kukuh setelah Adun DAP dan PKR keseluruhannya meninggalkan beliau untuk tetap teguh bersama Pakatan Rakyat. Malah PAS sendiri pun masih belum memberi kata putus sehingga mesyuarat jawatankuasa pusatnya, Ahad ini.

Tengah hari tadi calon gantian Menteri Besar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail telah membuktikan sokongan 30 orang Adun Selangor yang menyokong pelucutan Khalid.

“Khalid Ibrahim bohong kepada Tuanku. Dia tidak ada majoriti di Dewan Negeri.

“Hari ini kita telah tunjukkan bahawa Pakatan Rakyat mempunyai majoriti dengan 30 orang Adun,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada sidang media mengecam keras tindakan Khalid Ibrahim berbohong kepada Sultan demi mengekalkan kuasanya.

“Ini menangkis dakwaan Tan Sri Khalid. Kita mahu buktikan hari ini bahawa Khalid telah berbohong kepada Tuanku,” tegas Guan Eng sambil menuntut supaya Khalid memohon maaf kepada Tuanku Sultan Selangor dan kemudian meletakkan jawatan secara terhormat.

Tegas Guan Eng, Khalid mesti memberi laluan kepada Dr Wan Azizah yang kini mendapat kepercayaan majoriti ADUN Selangor untuk mengambil alih tugas Menteri Besar.

Namun, Khalid Ibrahim masih berdegil walaupun tidak lagi memiliki bilangan ADUN yang mencukupi untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Malah hari ini bertindak memecat satu-satunya Exco PKR yang berbaki iaitu Adun Batu Tiga Rodziah Ismail setelah memecat habis kesemua Exco dari DAP dan PKR Isnin lalu.

Khalid mahu dilucutkan daripada jawatan Menteri Besar lantaran kegagalan beliau melaksanakan dasar-dasar Pakatan Rakyat selain kontroversi skandal penyelesaian kes hutangnya berjumlah lebih RM60 juta di luar mahkamah.

Pakatan Rakyat masih menanti keputusan akhir Jawatankuasa PAS Pusat berkenaan hal penukaran MB Selangor dalam mesyuarat yang bakal berlangsung Ahad nanti. – Roketkini.com