Berita

Khalid masih MB hanya kerana sokongan UMNO-BN

KUALA LUMPUR, 14 OGOS – Kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa kerajaan negeri Selangor adalah bukan kerajaan Pakatan Rakyat meskipun telah masuk penggal kedua sangat memeranjatkan, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Lebih menghairankan apabila kenyataan Khalid itu diiyakan oleh empat Exco PAS yang hadir di sidang media bersama Khalid hari ini – setelah mereka membiarkan dan mengiyakan pemecatan secara sewenang-wenang lima orang exco dari DAP dan PKR,” ujar Kit Siang.

Justeru itu, beliau sekali lagi mempersoalkan sama ada wakil rakyat PAS di Selangor merasa mereka telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri tanpa manifesto dan kempen bersama Pakatan Rakyat.

“Adakah empat orang Exco PAS akan terpilih menjadi Adun sekiranya mereka tidak mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum 2013?” soal Kit Siang dalam kenyataan media semalam.

Dalam sidang media bersama di Ibu Pejabat PKR semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah pun menyeru ADUN PAS agar tidak hadir ke mesyuarat Exco hari ini sebagai tanda semangat setiakawan.

Bagaimanapun, menurut Kit Siang, hakikatnya Khalid masih mampu berpaut pada jawatan Menteri Besar itu hanya kerana pernyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa 12 Adun UMNO-BN Selangor akan memberikan sokongan terhadapnya.

Itu ditambah dengan sokongan 15 Adun PAS yang masih menanti kata putus Jawatankuasa PAS Pusat yang bakal bermesyuarat Ahad ini.

“Krisis Menteri Besar Selangor dalam masa empat hari sahaja telah memusnahkan harapan perubahan politik yang diusahakan Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat Malaysia sepanjang enam tahun lalu,” tambah Kit Siang lagi.

Setelah dipecat daripada PKR Sabtu lalu, Khalid Ibrahim bertindak memecat Exco DAP dan PKR dalam usahanya untuk kekal mentadbir negeri Selangor sebagai seorang Adun Bebas.

DAP dan PKR telah sebulat suara bersetuju menggantikan beliau dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail manakala PAS dijangka hanya akan membuat keputusan pada 17 Ogos nanti. – Roketkini.com