Berita

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Pulau Pinang laksana pilihanraya tempatan

PUTRAJAYA, 14 OGOS: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan menolak permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjalankan pilihanraya kerajaan tempatan.

Keputusan telah diumumkan oleh Hakim Tan Sri Raus Sharif yang mengetuai panel lima hakim di Istana Kehakiman, Putrajaya, pagi tadi.

Raus berkata, mahkamah menolak untuk memberikan kebenaran kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.

Menurutnya, berdasarkan keputusan sebulat suara hakim, enakmen yang diluluskan oleh badan perundangan negeri pada tahun 2012 untuk mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan juga terbatal dan tidak sah.

“Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh secara unilateral mengecualikan pemakaian Seksyen 15 Akta 1976 ke seluruh Pulau Pinang.

“Apa yang dilakukan Kerajaan Negeri adalah melanggar Perkara 95A(6) dan Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah juga mendapati Pilihanraya Kerajaan Tempatan Enakmen 2012 turut bercanggah dengan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan, kerana undang-undang negeri itu tidak selaras dengan Seksyen 10 dan 15 Akta Kerajaan Tempatan, undang-undang Persekutuan,” kata Raus.

Ketua Menteri Lim Guan Eng menegaskan, walaupun kecewa kerana cubaan Kerajaan Negeri untuk menegakkan demokrasi gagal, namun beliau tetap menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Ini adalah ‘common sense’, jika anda boleh melantik seorang Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri, anda seharusnya dapat juga untuk memilih Datuk Bandar dan Ahli Majlis Tempatan.

“Mereka inilah yang menentukan kadar cukai taksiran penduduk setempat dan bagaimana anda akan hidup di kawasan kejiranan,

“Kami amat kecewa kerana sekali lagi tidak berjaya walaupun telah berusaha sedaya upaya menggunakan saluran undang-undang untuk cuba memulihkan ‘undi ketiga’ supaya kembali kepada rakyat selepas ia berulangkali dihalang Kerajaan BN,” katanya ketika ditemui di luar Bilik Kehakiman 1.

Pilihanraya Kerajaan Tempatan pernah diadakan pada tahun 1951 dan 1965.

Namun ia digantung hampir 50 tahun lalu akibat peristiwa Konfrontasi Indonesia dan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman ketika itu berjanji bahawa ia akan diadakan semula selepas konfrontasi berakhir.

Malangnya, sehingga kini pilihanraya kerajaan tempatan tidak pernah diadakan semula seperti yang dijanjikan. -Roketkini.com