Berita

Pelan penstrukturan MAS perlu pastikan hak & kebajikan 20,000 pekerja terbela

GEORGE TOWN, 14 OGOS: Penstrukturan dan pelan rasionalisasi untuk menyelamatkan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) wajib memastikan hak 20,000 pekerjanya dipertahankan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian merujuk rancangan kerajaan melalui dana pelaburan strategiknya, Khazanah Nasional Bhd, merangka pelan induk dalam tempoh tiga bulan bertujuan mengurangkan kerugian ditanggung MAS dan seterusnya kembali mencatat keuntungan.

“Mana-mana penstrukturan atau pun pelan rasionalisasi untuk menyelamatkan MAS wajib memastikan hak dan kebajikan 20,000 pekerja MAS dipertahankan, dalam masa yang sama kontrak berat sebelah yang menguntungkan kroni-BN turut ditamatkan.

“Khazanah mesti menyediakan pelan konkrit untuk menyelamatkan MAS, termasuk menerima-pakai amalan antarabangsa untuk melaksanakan tender terbuka dan penaksiran berasaskan prestasi kepada semua, termasuk pengurusan tertinggi,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam kenyataan 9 Ogos lalu berkata, kerajaan tidak meletakkan sebarang tempoh bagi MAS untuk kembali mencatat keuntungan dan langkah penyahsenaraian MAS itu dikatakan membolehkan proses membuat keputusan lebih cepat kerana Khazanah akan memegang 100 peratus saham syarikat itu.

Namun, dalam masa yang sama Ahmad Husni tidak menyatakan jaminan sama ada penstrukturan semula MAS itu akan melibatkan pemberhentian pekerja atau penjualan anak-anak syarikatnya yang tidak menguntungkan.

“Khazanah tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan mengorbankan pekerja biasa MAS, sebaliknya memberi tumpuan kepada kelompok pembuat dasar yang meluluskan kontrak berat sebelah pada harga yang tidak kompetitif yang akhirnya menambah kerugian MAS,” ujarnya.

Dalam pada itu Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan untuk menyahsenarai MAS dari Bursa Malaysia oleh kerana kedudukan kewangannya yang tidak stabil dengan hutang terkumpul kira-kira RM8.53 bilion menjelang 21 Mac 2013.

Malah, MAS turut dilaporkan rugi sebanyak RM279 juta bagi tiga bulan pertama 2014 dan dijangka merekodkan kerugian bersih terbesar dalam sejarah bagi suku tahun kedua 2014 rentetan tragedi MH370 dan MH17.

Tambahnya, DAP kini sedang meneliti kenyataan MAS bahawa pemegang majoritinya Khazanah dengan 69% pegangan menawarkan RM 0.27 sen bagi setiap baki unit saham.

Difahamkan Khanazah akan membayar hampir RM1.4 bilion tunai bagi membeli 30% baki saham yang tidak dimiliki MAS untuk diswastakan, namun kedua-dua prasyarat yang dinyatakan tersebut perlu dipertimbangkan.

Tambah Guan Eng, semenjak 1998 Khazanah menyuntik kira-kira RM5.7 bilion dan RM19 bilion melalui bon jaminan kerajaan, selain dilaporkan membelanjakan tunai pada kadar ‘berbahaya’ berjumlah RM5 juta sehari yang akhirnya menyebabkan tunai susut kepada hanya RM3 bilion.

“Dengan hutang berjumlah lebih RM11.5 bilion, tindakan segera perlu dilakukan untuk menstruktur operasi, model perniagaan, kewangan, kakitangan dan kawal-selia lain.

“Walaupun menggunakan subsidi dan geran berjumlah puluhan bilion ringgit, MAS masih gagal menunjukkan kemampuannya bersaing dengan Air Asia yang secara luarbiasa diusahakan tanpa menggunakan sesen pun wang pembayar cukai,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com