Wawancara

Utam: Intelektualisme dan aktivisme perlu ‘dikahwinkan’ (bahagian I)

Universiti Terbuka Anak Muda, atau Utam, menurut laman Facebook rasminya adalah untuk anak-anak muda yang ghairah – ghairah terhadap wacana dan diskusi intelektual, ghairah untuk hidup di tengah kerencaman idea dan jalur fikir.

Maka sekumpulan mahasiswa yang menuntut di United Kingdom, Amerika Syarikat, Jordan, Arab Saudi dan Malaysia sepakat untuk menubuhkan Utam. Dengan harapan membudayakan ilmu di kalangan orang ramai, serta mengkayakan khazanah keilmuan dalam Bahasa Melayu.

Roketkini berpeluang untuk duduk bersembang bersama dua penggerak utama, Asyraf Muiz Roslan (mahasiswa jurusan Syariah, Universiti Madinah) dan Imran Rasid (mahasiswa jurusan Falsafah Politik, University of Manchester), sempena Pesta Ilmu Utam yang akan diadakan di Rumah PENA, Kuala Lumpur, 16-17 Ogos nanti.

utam - gambar utamaSeperti yang dinyatakan, program Pesta Ilmu ini adalah kesinambungan daripada Simposium Utam pada tahun lalu. Boleh terangkan sedikit tentang kesinambungan itu dan program kali ini?

Imran Rasid (I): Berbanding program tahun lepas yang agak umum, kali ini temanya lebih khusus – wanita dan gerakan anak muda.

Asyraf Muiz (M): Tahun lepas intelektualisme jadi tema besar. Untuk kali ini, kita ingin adunkan intelektualisme dengan aktivisme.

Jika diperhati, banyak gerakan anak muda di Malaysia, dalam atau luar universiti, tidak mempunyai fokus. Misalnya, ada yang sekadar menjadi alat parti politik, dan memang diwujudkan oleh parti politik. Tidak kurang yang terlalu terpengaruh dengan parti. Bila parti bangkitkan suatu isu, baru mereka muncul. Sebab itu bila habis sahaja Pilihanraya Umum ke-13, mereka tidak aktif lagi.

Puncanya, tindakan dan aksi mereka tidak didasari fokus dan kerangka kerja yang jelas. Ini kerana tiadanya ideologi sebagai asas gerakan. Akhirnya jadi merata-ratalah, malah bertindih peranan antara satu sama lain sehingga ada yang bergaduh.

Kami fikir adunan terbaik adalah dengan mengahwinkan aktivisme dengan intelektualisme. Jadi, beberapa gerakan dijemput untuk sertai simposium ini, untuk bincang tentang sejarah dan peranan masing-masing, serta ruang untuk kerjasama. Semua resolusi akan dikumpulkan, dan akan ada pertemuan dan perbincangan susulan selepas ini. Tentang apa yang ingin dicapai dalam masa sepuluh tahun, misalnya.

imranrasidI: Tentang tema kedua iaitu wanita pula, menurut banyak pihak, isu ini belum dibincangkan dengan meluas di Malaysia. Mengapa tidak kita mulakan dengan ini dulu, sebelum teruskan dengan wacana lain.

Apakah matlamat, atau mission statement Utam.

I: Matlamat kami agar Utam dapat menjadi salah satu medium membawa perbincangan intelektual yang tersekat di dewan kuliah kepada orang awam, untuk mencerahkan masyarakat. Pesta Ilmu ini adalah aspirasi Utam ingin bawa kepada khalayak, selain mesej keterbukaan dalam wacana dan diskusi yang kita sering adakan.

M: Keterbukaan adalah ciri utama Utam. Kami tiada struktur, masing-masing tidak ada jawatan khusus. Sedikit anarkis, mungkin. Maka, kru Utam datang daripada pelbagai golongan; orang kiri dan kanan, pejuang feminis, salafi dan pro-status quo. Tidak timbul masalah jika ada penggerak yang ingin membawa nama Utam untuk program yang condong ke arah pemerintah, misalnya. Malah ada kru kami yang menjadi peserta program Felo Perdana.

Keterbukaan menjadi prinsip utama Utam.

Kalian ada kritik gerakan yang terlalu bergantung dengan parti. Suka atau tidak, perbincangan isu semasa di Malaysia dikuasai dua pihak; Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Bagaimana Utam mengambil sikap dalam sesetengah isu, pada masa sama kekal terbuka dan neutral?

M: Ini tidak bermakna kami tidak bersikap dalam sesuatu isu. Pasca-PRU 13, kami keluarkan kenyataan rasmi menyokong Pakatan Rakyat mengambil tindakan mahkamah berhubung penipuan pilihanraya.

Tapi kami tidak akan campur jika isu tersebut pada kami terlampau kepartian sifatnya, seperti isu Langkah Kajang dan kemelut Menteri Besar Selangor.

Apakah kegiatan utama Utam, yang mungkin boleh membezakan antara kalian dengan yang lain?

I: Kami menganjurkan kursus yang tersusun (structured course), lengkap dengan sukatan pelajaran dan bahan bacaan. Sekarang kita buat untuk subjek falsafah politik, dan disampaikan kru Utam di Amerika Syarikat.

Kedua, kami sangat mementingkan dokumentasi. Ketika mula-mula duduk berbincang dan menubuhkan Utam, kami sudah menetapkan hal ini. Sebab itu, Utam bermula dengan kuliah atas talian oleh kru yang menuntut di luar negara. Jadi, ia boleh dirujuk pada masa akan datang.

Sekurang-kurangnya kita bermula dari sudut ini. Banyak wacana intelektual sebelum ini tidak didokumentasikan. Ketika itu, capaian internet belum meluas.

Lebih jauh lagi, dokumentasi penting untuk ‘melihat kembali’ pada masa akan datang. Contoh, tentang sejarah kemunculan gerakan Islam di Malaysia. Sangat kurang. Yang ada, antaranya Islam Embedded oleh Farish A. Noor dan Islamic Revivalism in Malaysia oleh Zainah Anwar.

Sepatutnya perlu lebih banyak lagi. Tentang bagaimana gerakan seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan Isma tertubuh. Jika tidak, generasi akan datang hanya akan sibuk bergaduh; siapa betul, siapa salah, siapa lebih Ikhwan.

Tulis sahaja, kalau bertembung (pandangan dan perspektif sejarah) tidak mengapa.

Ketiga adalah terjemahan daripada buku dan jurnal, daripada Bahasa Inggeris dan Arab kepada Bahasa Melayu.

asyrafmuizBagaimana dengan kegiatan di luar Lembah Klang?

M: Memang, kami dengan penuh kesedaran ingin, dan merasakan amat perlu untuk gerakan dan wacana intelektual keluar dari Lembah Klang. Sebelum ini kita pernah buat program di Kelantan dan Kedah. Malah, kita juga pernah buat di luar negara, antaranya Jordan. Ini bergantung kepada kru kami yang menuntut di luar negara.

I: Kami lebih bertumpu di universiti. Seperti di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Kuantan, Pahang. Kalau ada wakil dari mana-mana kampus yang ingin buat, kami bantulah dari segi tenaga dan promosi.

Ini berbalik kepada rakaman. Bila ada diskusi, kita harap ia disebar seluas mungkin. Youtube banyak membantu menyelesaikan masalah jarak.

*Bersambung – Intelektualisme di tengah masyarakat, politik tanpa ideologi dan pembangkang sebelum dan selepas 2008 – Roketkini.com