Berita

Bawa usul ‘undi percaya’ kalau berani, kata Kit Siang kepada Khalid

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mencabar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar segera memanggil sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengusulkan undi percaya, jika benar beliau percaya masih mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

“Khalid berhadapan dengan pilihan sukar untuk menyelamatkan saki-baki kehormatan politik dan peribadinya dengan cara meletakkan jawatan secara baik atau mengusulkan ‘undi percaya’ pada sidang DUN. Jika tidak, beliau akan meninggalkan reputasi politik buruk tanpa sebarang kehormatan, etika atau prinsip.

“Ia boleh dilakukan dalam tempoh beberapa hari lagi. Itulah satu-satunya cara terhormat untuk Khalid,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, cara itu jauh lebih baik berbanding apa yang dilakukannya kini; mempertahankan jawatan secara tidak demokratik sehingga DUN bersidang November ini.

Semalam, 30 Adun Pakatan melalui Kenyataan Bersumpah (SD) menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Ia bertentangan dengan dakwaan Khalid, termasuk ketika mengadap Sultan Selangor Isnin lalu, bahawa beliau masih memiliki sokongan majoriti Adun negeri itu.

Artikel 53(6) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor jelas menyatakan, Menteri Besar perlu meletakkan jawatan jika tidak lagi mendapat sokongan majoriti kecuali Sultan, di atas permintaan MB, membubarkan DUN.

Katanya lagi, Khalid telah mengelirukan Tuanku Sultan bahawa beliau masih mendapat sokongan, pada masa sama tidak berani membuat pengesahan daripada Adun sendiri sebelum mengadap.

“Khalid tahu bahawa beliau tidak mampu menunjukkan majoriti ADUN menyokongnya. Beliau tidak sepatutnya dengan semberono mengenepikan prinsip asas demokrasi dan perlembagaan,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi. – Roketkini.com