Berita

‘Like’ Facebook Israel salah, kerajaan lulus dagangan dengan Israel tak salah?

BAKRI, 15 OGOS: Ahli Parlimen DAP Bakri Er Teck Hwa menyelar tindakan keterlaluan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menyiasat seorang pelajar sekolah menengah di bawah Akta Hasutan hanya kerana beliau menekan butang ‘Like’ di laman Facebook I Love Israel.

Beliau berkata, tindakan menggunakan akta drakonian itu untuk melarang pengguna media sosial menekan butang ‘Like’ di Facebook merupakan kontradiksi nyata berbanding hubungan dagangan kerajaan BN dengan Israel.

“Mengapa akta itu tidak digunakan untuk menahan anggota kabinet termasuk kabinet zaman Abdullah Badawi dan Dr Mahathir yang telah meluluskan perdagangan dengan Israel?

“Kelulusan itu bukan saja bertentangan dengan Dasar Luar Negara dan Akta Kastam 1967, malah ia telah dibiarkan hingga mencecah berbilion ringgit.

“Jadi, adakah menekan butang ‘Like’ di Facebook lebih besar kesalahannya berbanding kebenaran melakukan aktiviti hubungan perdagangan dengan Israel? Sebelah siang marah Israel, cerca dan protes, tetapi menjelang malam, tidur sebantal bersama mereka,” tegasnya dalam satu kenyataan, semalam.

Kata Teck Hwa, tindakan PDRM tersebut juga telah mendapat kritikan dari warga Malaysia kerana tidak memahami penggunaan ‘Like’ Facebook.

“Dengan menekan butang ‘Like’, itu bukan semata-mata bermaksud suka atau setuju tapi untuk melihat ‘posting’ yang dikeluarkan oleh pemilik atau moderator laman,” katanya.

Tegasnya lagi, PDRM sepatutnya memberi keutamaan kepada perkara yang lebih serius dan berpotensi membawa Malaysia menjadi sasaran negara lain dalam isu ISIS.

“PDRM sendiri mengakui negara ini sedang dijadikan tempat rekrut dan latihan pejuang ISIS di banyak lokasi.

“Malangnya tindakan PDRM agak perlahan, sebaliknya memilih menumpukan usaha menyiasat seorang pelajar berumur 17 tahun.

“Bagaimana rakyat akan terus mempercayai integriti dan kredibiliti PDRM yang sememangnya telah tercalar teruk ini? Inilah yang disebut pepatah sebagai ‘kuman di seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak’,” ujar Teck Hwa. -Roketkini.com