Berita

Semai kebencian: Mansuh BTN, bukan sekat Facebook

KULAI, 15 OGOS: Daripada melaksanakan cadangan kurang cerdik menyekat penggunaan Facebook, lebih baik kerajaan mansuhkan program Biro Tata Negara (BTN), kata Adun Senai Wong Shu Qi.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini yang sekali lagi mengaibkan Malaysia di mata dunia.

“Kerajaan BN sepatutnya perlu melihat masalah yang dicipta sendiri melalui agensi-agensi seperti BTN.

“BTN sepatutnya diwujudkan untuk memupuk perpaduan negara tapi sebaliknya bertukar menjadi tempat ‘mencuci otak’ rakyat supaya menyokong ketuanan kaum tertentu termasuk alat untuk mendapat sokongan kepada Umno dan BN.

“Jika mereka benar-benar serius mencegah sebarang bentuk kebencian dan mewujudkan masyarakat pelbagai budaya yang harmoni, pemansuhan BTN perlu dipertimbangkan, bukannya Facebook,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Pengarah Dasar DAP Johor menyatakan, BTN terbukti sebagai salah satu punca kebencian semakin meningkat di kalangan masyarakat berbilang kaum.

Jelasnya, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu menggunakan kedudukannya untuk menyebar unsur-unsur perkauman melalui latihan dan kursus yang dijalankan untuk pelajar serta kakitangan awam.

“Tahun ini saja, BTN diperuntukkan sebanyak RM64.8 juta, perbezaannya amat kecil dengan peruntukan untuk Parlimen, iaitu RM86 juta.

“Perbezaan kecil ini menunjukkan Umno-BN lebih berminat mempromosi perkauman daripada menghormati Parlimen sebagai badan tertinggi negara.

“Sekatan ke atas Facebook tidak akan menyelesaikan masalah, kebencian dalam talian akan sentiasa berlaku dan penyebabnya adalah program sistematik ‘cuci otak’ melalui BTN dan acara bertemakan perkauman yang lain,” tegasnya.

Justeru itu, beliau menyeru kerajaan supaya menghentikan cadangan tidak munasabah tersebut dan membubarkan BTN secara serta-merta.

“Ini harus dilakukan untuk mencapai matlamat jangka panjang demi mewujudkan Malaysia yang sederhana tanpa sebarang kebencian di kalangan rakyat dalam kerangka kaum, agama, jantina atau kelas,” ujarnya. -Roketkini.com