Rencana

Bahagian II: Kemunculan wira republik

turki-300x149

Canakkale dan wira Republik

Tatkala perang dunia pertama tercetus, beberapa daerah telah terlepas daripada gengaman Osmaniah seperti Bosnia-Herzegovina, Balkan, Tunisia, Crimea, dan beberapa daerah Greece. Ini melemahkan pengaruh Osmaniah. Maka kemasukan Itali dan Perancis ke beberapa wilayah Tripoli mengecilkan lagi pengaruhnya.

Kemudian serangan di Canakkale 1914 dilancarkan. Kuasa-kuasa asing Rusia, British, Australia, dan Perancis telah melancarkan kempen serangan ke atas kerajaan Osmaniah di Canakkale bagi memasuki dunia lainnya melalui laut Bosphorus. Kerana kekurangan tenaga perang, kerahan dimulakan. Remaja seusia belasan tahun telah keluar ke medan perang. Tanpa makanan dan kelengkapan perang yang cukup untuk menghadapi serangan dari pelbagai penjuru ini, seluruh penduduk bersatu menyerahkan apa yang tersisa. Rakaman sejarah menunjukkan serangan ini sukar untuk dipatahkan. Setiap hari laut dan darat Canakkale diwarnai dengan asap daripada meriam dan serombong kapal. Pengurangan kerjasama Jerman secara langsung dalam ketenteraan menyukarkan lagi usaha Osmaniah.

 Disinilah Mustafa Kamal menonjol. Mengetuai peperangan ini menaikkan nama beliau. Idea mandiri ketenteraan oleh Young Turk memang agak menyusahkan usaha penghalauan musuh. Tanpa bantuan Jerman, Turki bagai terbang sebelah sayap. Tetapi beliau berjaya membuktikan idea itu tidak pernah silap. Kempen sokongan Jerman dan Austria hanya berlaku secara tidak langsung. Dua kuasa ini membekalkan senjata kepada Osmaniah tanpa ikut terlibat dalam medan tempur.

Mustafa berjaya mengundurkan musuh walaupun kematian dan kecederaan mencecah angka 211,000 orang daripada pihak Osmaniah dan 187,000 tentera bersekutu. Beliau berupaya menangani serangan mega musuh. Oleh itu nama beliau harum ke seluruh Turki pasca-peperangan ini . Beliau akhirnya dianugerahkan pangkat jeneral sebagai penghargaan terhadap kemampuannya yang luar biasa.

Perjanjian Februari 1918 (dalam Artikel 1) dan perjanjian Mudros 30 Oktober 1918 yang bermatlamatkan pembebasan tentera Turki dari tahanan musuh turut membuktikan langkah bijak Mustafa Kamal dalam rangkanya memperkasakan semula keamanan negara yang dilanda kelaparan dan kesengsaran akibat perang berpanjangan.

Artikel 1 Perjanjian 9 Februari 1918 menyebut:

“Jerman, Austria-Hungary, Bulgaria, dan Turki dari satu bahagian, dan Republik Rakyat Ukraine dari bahagian lain, menyatakan bahawa keadaan perang antara mereka sudah berakhir. Pihak terbabit selanjutnya akan berusaha untuk hidup dalam damai dan persahabatan satu sama lain.”

Fasal XVI Perjanjian Mudros pula menyebut:

“Penyerahan balik semua laskar di Hijaz, Asir, Yaman, Syria, dan Mesopotamia kepada Komander Bersekutu; dan pengunduran tentera dari Sisilia, kecuali yang perlu untuk mengekalkan perintah, seperti yang akan ditentukan di bawah Fasal V.”

mustafa1

Pengaruh Mustafa Kemal mula berkembang. Gagasan sekularisme-laicisme, semangat ultra-nasionalisme, penubuhan republik, dan pembangunan ummat menjalar ke seluruh pelusuk Turki mengantikan kuasa kesultanan yang mula lumpuh dan tidak relevan. Tiga tiang utama Osmaniah telah dipatahkan, iaitu sistem Milletci, Vakaf, dan bidangkuasa khalifah. “Sultan harus dijatuhkan dari tahtanya,” “Agama harus terpisah daripada kuasa,” “Betapa bahagianya seorang yang mengaku: aku adalah turk,” “Kita harus mula menoleh ke Barat” adalah antara slogan Mustafa – pil kuda dan pencetus semangat baru ini.

Bertitik tolak daripada pertemuannya di Ankara pada tahun 1920, gerakan ini makin marah mengoncang pengaruh khalifah. Menyedari perkara yang bakal terjadi, Abdul Hamid II sebelum itu lagi telah menubuhkan tenteranya sendiri yang terdiri daripada pendukung monarki.

Mustafa Kemal melancarkan tindakannya dari akar umbi. Beliau memperkenalkan cara hidup baru kepada awam. Manakala pengaruh Genc Osmanlilar lenyap, sebahagian mereka terbunuh secara misteri, dan gagasan-gagasan mereka dirompak dan diubahsuai oleh Mustafa Kemal. Bagi Mustafa, beliau hanya belajar dan terpengaruh, bukan mencuri. Genc Osmanlilar telah lenyap dari parlimen sebaik sahaja penabalan Sultan Vehihuddin yang bisu suara politik.

Setelah berjuang untuk nusa dan bangsa serta mempertahankan Turki daripada serangan fizikal dari luar (1914-1923), akhirnya Mustafa Kemal berjaya meralisasikan cita-citanya bagi membangunkan negara dengan wawasan yang jauh.

Pada Oktober 1923, undian di parlimen telah dibuat dan Mustafa Kemal telah dilantik menjadi Presiden secara rasmi, manakala perutusan telah dihantar kepada Sultan AbdulMecid I sebelum itu bagi pelucutan khalifah secara rasmi. Kerajaan peralel tidak berlaku kerana sultan Vahiduddin tidak mempunyai pengaruh.

Pada tahun 1924, kerajaan Osmaniah telah terpatri sebagai sejarah dan pemerintahan beraja telah dikuburkan. Republik Turki adalah anak yang baru lahir, kata Mustafa Kemal, dan bukan the sick European lagi. Beliau kemudiannya diberi gelaran Ataturk (Bapa Turki) sebagai tanda kemuliaan dan darjah kebesaran daripada parlimen atas segala jasa dan keperwiraannya. Agenda pemulihan ini dilangsungkan selama 15 tahun dengan bantuan Perdana Menteri Ismet Inonu.

 * Penulis adalah mahasiswa bidang sains politik di sebuah universiti di Istanbul.