Berita

Kontrak Komuniti Pulau Pinang libatkan rakyat dalam proses membuat keputusan

GEORGE TOWN 19 OGOS:  Kontrak Komuniti, sebuah program dilancarkan kerajaan negeri Pulau Pinang, akhirnya membuahkan hasil dengan kejayaan menyiapkan projek pembersihan dan mengecat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, dekat sini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, sasaran kerajaan negeri untuk melibatkan orang ramai dalam proses membuat keputusan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan negeri berhasil.

“Pada hari ini, di tempat kediaman anda, satu inovasi baru telah dilakukan untuk mengatasi isu kebersihan. Satu kontrak komuniti pembersihan di PPR Jalan Sungai dijalankan dengan jayanya.

“Dulunya tidak terurus, tetapi pada hari ini tidak lagi. Ini menunjukkan apabila kepercayaan dan tanggungjawab diberikan kepada penduduk untuk bertindak sebagai rakan kongsi kerajaan negeri menjaga kebersihan tempat tinggal mereka,” kata Guan Eng dalam majlis pelancaran Kontrak Komuniti Kebersihan dan Projek Mengecat di PPR Jalan Sungai, Ahad lalu.

Kontrak Komuniti PPR Jalan Sungai, George Town dilancarkan pada 2012 dengan peruntukan lebih RM2 juta bertujuan melatih dan mengupayakan masyarakat sebagai rakan kongsi kerajaan tempatan dalam konteks pembangunan negeri.

“Kontrak Komuniti ini adalah yang julung kalinya dijalankan di Pulau Pinang, mahupun di Malaysia. Besar harapan saya untuk menjadikan PPR Jalan Sungai salah satu model pembangunan masyarakat untuk diikuti kelompok lain di Pulau Pinang.

Bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memperuntukkan lebih RM 2 juta untuk membaiki lif, menaiktaraf sistem pencegahan kebakaran dan mengecat semula PPR Jalan Sungai mengikut keperluan yang diputuskan oleh penduduk tempatan.

Hasilnya, persekitaran PPR Jalan Sungai kini semakin bersih dan ceria dan memberikan dampak positif dan nafas baru kepada penduduk di sini selain menyenangkan pemandangan.

“Untuk makluman semua, Flat PPR Jalan Sungai ini kelihatan tersergam indah dari jendela KOMTAR berbanding dengan bangunan-bangunan lain kerana warnanya yang menarik. Penduduk PPR Jalan Sungai bijak menggunakan kuasa yang diberikan kepada mereka.

“Proses ini akan mewujudkan perhubungan yang baik di mana kerajaan tempatan menjadi lebih peka terhadap keperluan berbeza di kalangan kelompok masyarakat yang berlainan.

“Lantas kerajaan lebih cekap membuat keputusan dan berkesan dalam menetapkan belanjawan yang berkaitan dengan keperluan rakyat,” kata Guan Eng.

Baru-baru ini Pulau Pinang di bawah Projek Perintis Belanjawan Peka Gender dan Berpenyertaan mendapat penghormatan untuk menerima anugerah khas Juri ‘Amalan Terbaik dalam Penyertaan Warga’ (Best Practice in Citizen Participation) di International Observer Participatory Democracy (IOPD) Ke-8 di Brazil.

Justeru itu, beliau merakam penghargaan kepada semua pihak yang terlibat kerana memberi komitmen yang padu dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk, melibatkan penyertaan orang ramai dalam proses membuat keputusan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri. – Roketkini.com