Berita

MRT: Pengerusi SPAD Syed Hamid Albar juga kena letak jawatan

KUALA LUMPUR, Berikutan desakan orang ramai termasuk Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Wira Azhar Abdul Hamid hari ini mengumumkan perletakan jawatan dengan serta merta.

Perletakan jawatan itu dibuat susulan kejadian runtuhan konkrit landasan MRT sehingga meragut tiga nyawa pekerja awal pagi ini.

Namun, menurut Tan bukan Wira Azhar sahaja yang perlu meletakkan jawatan tetapi tanggungjawab itu juga perlu dipikul bersama Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

Katanya Syed Hamid wajar meletakkan jawatan kerana gagal menyelia perjalanan projek hingga menyebabkan kemalangan berlaku dan membahayakan keselamatan awam.

“Adakah pihak berkuasa dan kontraktor telah mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya bagi memastikan kemalangan sedemikian tidak lagi berulang?

“Memang sukar untuk mencegah kemalangan, namun kejadian runtuhan yang berlaku menjadi petunjuk bahawa terdapat kelalaian dalam langkah keselamatan,” kata pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan itu dalam satu kenyataan.

Menurut Kok Wai, kemalangan runtuhan konkrit seberat 300 tan yang membunuh tiga pekerja asing pagi ini tidak sepatutnya berlaku.

Tan yang juga Pengerusi DAP Kuala Lumpur menggesa pihak berkuasa menyiasat punca kejadian dan mencadangkan piawaian keselamatan yang lebih tegas demi keselamatan pekerja dan orang awam.

Sebelum ini satu kejadian serupa berlaku pada 26 Jun lalu menyebabkan dua pemandu kereta cedera apabila kenderaan dinaiki mereka dihempap batang besi yang jatuh dari binaan Projek Transit Aliran Massa (MRT) dalam kejadian di Jalan Lapangan Terbang Subang.

“Pihak berkuasa perlu membuat penilaian semula terhadap semua kontraktor untuk memastikan mereka mematuhi prosedur kerja pembinaan, memandangkan kejadian ini bukan kali pertama berlaku.

“Semua pihak mesti bertanggungjawab terhadap keselamatan tapak pembinaan termasuk pihak berkuasa yang telah memberikan kelulusan terhadap projek berkenaan,” ujarnya  -Roketkini.com