Berita

Pelihara keluhuran Perlembagaan dengan lantik Wan Azizah – V Sivakumar

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang Datin Seri Dr Wan Azizah layak untuk menjadi Menteri Besar kerana mencukupi semua syarat yang diwajibkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V Sivakumar berkata Dr Wan Azizah melengkapi semua syarat iaitu seorang ADUN Selangor, seorang yang berbangsa Melayu, beragama Islam dan memperolehi sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Negara kita mengamalkan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan, bermaksud perlembagaan mengatasi setiap orang termasuk Raja yang memerintah.

“Perlembagaan telah mengariskan bahawa seseorang ADUN yang mendapat sokongan majoriti daripada ahli-ahli lain dilantik menjadi Menteri Besar untuk mengetuai kerajaan negeri tersebut,” kata Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah.

Beliau yang juga pengamal undang-undang berkata, sokongan kepada Dr Wan Azizah diperolehi daripada majoriti ADUN Selangor dan direstui parti-parti politik yang mendapat majoriti dalam DUN Selangor.

“Oleh yang demikian, Dr Wan Azizah harus dilantik sebagai Menteri Besar Selangor untuk menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat.

“Kita harus menghormati keputusan majoriti tersebut. Ini penting untuk memastikan keluhuran Perlembagaan sentiasa terjamin.

“Prinsip demokrasi ‘kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’ harus ditegakkan jika mahu melihat demokrasi hidup subur di negara ini,” kata Sivakumar dalam satu kenyataan.

Tambahnya, setiap individu warganegara Malaysia harus memberi keutamaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan dan pentadbiran negara kita.

“Ini merupakan kewajiban utama setiap rakyat Malaysia cintakan negara. Setiap tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan dianggap sebagai satu kesalahan besar serta boleh menjejaskan imej negara.

“Justeru itu, Datin Seri Wan Azizah harus dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sebagai tanda menghormati undang-undang tertinggi.

“Tambahan pula (langkah) ini akan menamatkan krisis politik di Selangor serta-merta. Rakyat Selangor sedang menanti untuk melihat pentadbiran negeri itu kembali harmoni,” ujar Sivakumar. – Roketkini.com