Berita

Tolak cadangan Lynas bina jalan raya guna sisa radioaktif

KUANTAN, 19 OGOS: Kerajaan Pahang digesa menolak cadangan Lynas Corporation untuk  membina jalanraya menggunakan sisa radioaktif, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puri.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan daripada Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas & Alam Sekitar Negeri Datuk Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak.

Menurut Tengku Zulpuri, cadangan yang dikemukakan oleh Lynas itu perlu dipandang serius oleh kerajaan negeri kerana boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan seluruh rakyat di negeri ini.

“Antara kandungan paling penting dalam memorandum bantahan adalah laporan suku tahunan terkini Lynas yang mencadangkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk membina jalanraya menggunakan sisa toksik radioaktif.

“Kita semua tahu bahawa sisa toksik boleh mendatangkan mudarat, jadi bagaimana cadangan sebegini boleh diutarakan?

“Apakah rujukan atau contoh negara yang pernah melakukannya? Adakah ia sememangnya terbukti selamat? Soalan ini perlu dijawab,” kata Tengku Zulpuri kepada Roketkini.

Hadir sama menyerahkan memorandum bantahan SMSL di perkarangan Dewan Negeri semalam ialah Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan lima ADUN dari Pakatan Rakyat Pahang.

Sementara itu Pengerusi SMSL Tan Bun Teet berkata, cadangan Lynas untuk membina jalanraya menggunakan sisa radioaktif tanpa menampilkan sebarang hasil ujikaji jelas tidak selari dengan amalan biasa.

Lynas sebelum ini turut bercadang untuk mengitar semula produknya yang diturun-nilai dan dineutralkan ke dalam bentuk baru seperti baja yang dikatakan akan memberi manfaat.

“Sepatutnya ujian dan eksperimen dilakukan terlebih dahulu ke atas sisa toksik sebelum  kilang itu didirikan.

“Kami menyeru semua wakil rakyat menggesa Kerajaan Pahang untuk tidak membenarkan cadangan pembinaan jalanraya Lynas,” katanya ketika perhimpunan aman selepas menyerahkan memorandum. – Roketkini.com