Berita

Wanita DAP sokong penuh Wan Azizah sebagai MB Selangor

GEORGE TOWN, 19 OGOS – Wanita DAP menyokong penuh penamaan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Wan Azizah dilihat layak menyandang jawatan tersebut lantaran peranan besar yang dimainkan sewaktu era awal gerakan Reformasi selain terbukti mampu mengharungi krisis.

Ketua Wanita DAP Chong Eng dalam kenyataan menyokong konsensus Pakatan Rakyat menamakan Wan Azizah sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut berharap agar semua pihak dapat menghormati keputusan tersebut.

“Walaupun penyertaan wanita masih sangat rendah di peringkat kepimpinan kerajaan, namun saya percaya kita akan berjaya mencapai kejayaan yang bermakna, sedikit demi sedikit,” ujar beliau.

“Di Pulau Pinang misalnya, kita mempunyai banyak wanita yang dipilih dan dilantik sebagai pembuat keputusan di peringkat Kerajaan Tempatan sebagai Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran bagi kedua-dua MPPP dan MPSP,” tambahnya yang juga Adun Padang Lalang.

Menurutnya lagi, seorang wanita yang berkeyakinan dan berilmu mampu mempengaruhi dan membawa perubahan positif kepada keluarga, masyarakat sekeliling dan negara.

“Saya mengucapkan syabas atas kesepakatan yang telah dicapai sekaligus bakal mencipta sejarah Menteri Besar wanita pertama di Malaysia!” katanya.

Ahad lalu Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat memutuskan bahawa Wan Azizah adalah satu-satunya calon pengganti jawatan Menteri Besar Selangor, setelah Khalid Ibrahim tidak lagi memiliki keyakinan majoriti Dewan Negeri.

Khalid dilaporkan dititah oleh Tuanku Sultan Selangor supaya menunggu sehingga baginda pulang dari luar negara sebelum mengadap bagi mendapatkan nasihat mengenai kedudukannya. – Roketkini.com