Berita

Dakwa Surendran cubaan menekan pasukan pembelaan kes Liwat 2

PUCHONG, 20 OGOS: Tindakan kerajaan mendakwa Ahli Parlimen Padang Serai dan juga peguam N Surendran di bawah Akta Hasutan 1948 adalah satu percubaan memberi tekanan kepada pasukan peguam kes Liwat 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Pengerusi Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo.

Surendran yang juga merupakan Naib Presiden PKR adalah peguam kepada Anwar dalam kes tersebut.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam hanya kerana memberikan komen bahawa tuduhan Liwat 2 itu adalah satu konspirasi politik. Beliau mengaku tidak bersalah.

Jika didapati bersalah, Surendran bakal berdepan dengan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000, atau kedua-duanya sekali.

“Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail) secara asasnya mengambil tindakan terhadap Surendran kerana memberikan pandangan tentang keputusan Mahkamah Rayuan, yang mana mungkin digunakan sebagai hujah pembelaan dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Peguam Negara adalah responden dalam rayuan itu. Beliau sepatutnya menggunakan ruang itu untuk menjawab hujah oleh pihak pembelaan. Beliau tidak boleh dibenarkan memberikan sebarang bentuk tekanan dan menakutkan Surendran atau pasukan peguam bela Anwar, terutama dengan mendakwa mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ia adalah pencabulan proses dan boleh dianggap menghina mahkamah,” kata Ahli Parlimen Puchong itu lagi.

Beliau juga menyifatkan dakwaan itu sebagai duluan yang buruk, yang boleh menyebabkan peguam takut untuk mengutarakan pandangan dan membela anak guam mereka kerana risiko didakwa.

“Peguam Negara perlu ingat, Perlembagaan menjamin tertuduh  untuk mendapat perbicaraan yang adil. Maka, sebarang usaha untuk menyekat jaminan itu adalah sama seperti mencabul perlembagaan…Beliau tidak melangkaui undang-undang,” kata Gobind lagi.

Tahun ini melihatkan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dihadapkan di bawah akta zalim itu, antaranya bekas Pengerusi Kebangsaan DAP mendiang Karpal Singh dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.- Roketkini.com