Berita

Kritikan Tun M terhadap Najib pelik, luar biasa – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Tokoh veteran DAP Lim Kit Siang hari ini menyifatkan kritikan keras bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai aneh.

“Ramai yang berminat melihat langkah terbaru Mahathir, iaitu ‘perang’ terbukanya terhadap Najib. Terutama apabila Mahathir menggunakan dua kisah kanak-kanak untuk menunjukkan rasa bencinya terhadap Najib.

“Amat pelik dan luar biasa apabila Perdana Menteri sekarang dituduh oleh bekas Perdana Menteri keempat dan mentornya sendiri sebagai ‘Raja Tanpa Pakaian’ dan (Raja Denmark) Canute yang merasakan dirinya boleh mengawal pasang surut air,” katanya semalam.

Kedua-dua kisah itu menunjukkan betapa pembesar-pembesar yang mengelilingi raja tidak memberikan teguran, walaupun perbuatan raja itu jelas salah.

Dalam tulisan terbaru di blognya semalam, Mahathir memetik dua kisah terkenal itu bagi menghentam Najib yang tidak pernah dikritik menteri-menterinya, serta kegagalan Najib membuat perubahan terutama selepas Pilihanraya Umum ke-13.

Mahathir malah mengisytiharkan ‘menarik balik’ sokongannya terhadap Najib, serta menyifatkan prestasi beliau lebih teruk daripada pendahulunya, Tun Abdullah Badawi.

“Pak Lah pasti menjadi orang paling gembira selepas membaca tulisan itu, menyedari beliau rupa-rupanya tidaklah teruk sangat,” kata Kit Siang lagi.

Seperti yang dijangka, tulisan itu mendorong beberapa menteri ‘melompat’ mempertahankan Najib, antaranya Menteri Wilayah Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Sementara Zahid, yang diketahui tidak menyukai Mahathir,  menyifatkan zaman ini bukan lagi zaman beliau, komen Hishamuddin seakan sedikit melampau apabila menyatakan Presiden Umno itu lebih hebat daripada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Presiden Russia Vladimir Putin. – Roketkini.com