Berita

Adun seru Pahang contohi P Pinang demi rakyat

KUANTAN, 21 OGOS: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puri meminta agar kerajaan Pahang segera membaiki jalanraya di Mentakab yang rosak teruk akibat sering digunakan kenderaan berat.

Beliau membawa isu itu dalam sesi perbahasan sidang DUN Pahang 19 Ogos lalu.

“Dapat kiranya jalan lama Lanchang ke Mentakab dinaiktaraf dari segi kekuatan dan ketahanan beban kerana sejak kebelakangan ini banyak kenderaan yang membawa balak dan bijih menggunakan jalan ini dan menyebabkan kerosakan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab itu juga menggesa kerajaan negeri mencontohi kerajaan Pakatan di Pulau Pinang yang memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Sekali lagi saya mencadangkan agar diadakan peruntukan kecil kepada Adun Pakatan Rakyat seperti yang diamalkan kerajaan Pulau Pinang.

“Ini penting bagi membantu kawasan yang menghadapi bencana alam seperti kebakaran, serta  infrastruktur yang lama dan usang seperti jalan dan longkang rosak,” katanya.

Katanya lagi, peruntukan itu amat penting memandangkan badan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pembangunan Luar Bandar (PLB) memakan masa yang lama untuk mengatasi masalah itu.

Adun Pakatan dalam Majlis Keselamatan Negera (MKN)

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan negeri tidak memanggil bersama Adun Pakatan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), terutama ketika bencana banjir melanda Pahang Disember lalu.

“Mentakab dan Temerloh juga mengalami banjir…tetapi mendukacitakan, saya dan rakan saya Adun Kuala Semantan (Syed Hamid Syed Mohamed, PAS) tidak pernah dipanggil dalam mesyuarat MKN.

“Kalau Adun Pakatan dapat bersama-sama di majlis kerajaan dan istana, mengapa hal yang melibatkan kepentingan dan keselamatan rakyat ini mesti ada perbezaan politik,” katanya lagi. -Roketkini.com