Berita

Ayuh sertai larian ‘Colour Run’ DAP Teluk Intan 16 Sept

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Bagi meraikan Hari Malaysia pada 16 September nanti, Pusat Komuniti DAP Teluk Intan akan menganjurkan program larian ‘Colour Run’.

Program larian yang terbuka kepada orang ramai dengan bayaran penyertaan RM20 itu akan bermula dari Pusat Komuniti dan berakhir di tempat sama. Jarak larian ialah sejauh 5 kilometer menyusuri bandar Teluk Intan.

Setiausaha Politik Ketua Parlimen DAP Dyana Sofya Mohd Daud berkata, selain untuk merayakan Hari Malaysia, matlamat utama penganjuran ‘Colour Run’ ini ialah untuk mempromosi gaya hidup sihat.

“Larian ini akan dipecahkan kepada empat kategori iaitu Lelaki, Perempuan, Lelaki Veteran dan Perempuan Veteran.

“Kategori Lelaki dan Perempuan Veteran untuk mereka yang berusia 50 tahun ke atas, manakala dua kategori lagi terbuka kepada semua.

“Pemenang tempat pertama akan menerima RM500, tempat kedua RM300, tempat ketiga RM100 dan tempat keempat hingga lima akan mendapat RM50 berserta sijil penyertaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini.

Beliau menyatakan, sasaran penyertaan adalah seramai 300 hingga 400 orang dan tarikh tutup penyertaan akan diumumkan kemudian.

“Tema kita untuk larian ini adalah ‘tidak kira apa jua warna anda, kita semua adalah rakyat Malaysia’. Kita semua akan bersama-sama menuju ke garisan penamat,” katanya.

Menurut Dyana, acara tersebut juga merupakan program di bawah inisiatif Impian Malaysia.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai program boleh melayari laman impianmalaysia.org atau Facebook Pusat Komuniti Teluk Intan.

Impian Malaysia merupakan sebahagian daripada komitmen DAP dalam membentuk Malaysia untuk semua. -Roketkini.com