Berita

Impian Malaysia berjaya laksana 19 projek, lancar laman web baru

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Sebanyak 19 projek di bawah program ‘Impian Malaysia’ berjaya dilaksanakan semenjak pelancarannya pada Mei 2013, kata Setiausaha Inisiatif Impian Malaysia Yeo Bee Yin.

Impian Malaysia, sebuah badan yang dibentuk DAP dan bergerak melalui kegiatan seperti pembinaan prasarana di kawasan pedalaman, program pendidikan dan inisiatif pengupayaan anak muda, kini digiatkan semula dengan pelancaran laman web baru.

“Setakat ini, di bawah Impian Malaysia kami telah berjaya melakukan 19 projek. Projek terbaru yang akan dijalankan nanti adalah membantu membina tandas awam di Kampung Tual, Pahang.

“Projek ini dilakukan kerana rasa tanggungjawab kami sebagai warga Malaysia untuk memastikan kebersihan Orang Asal terjamin supaya mereka dapat mengekalkan kesihatan dan mencegah dari penyakit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP.

Katanya projek di Kampung Tual yang dilancarkan kelmarin disasarkan untuk siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.

Terdahulu, DAP hari ini memperkenalkan laman web Impian Malaysia yang memuatkan segala maklumat berhubung perjalanan dan program Impian Malaysia.

Bee Yin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara menambah, laman web tersebut dibina agar orang ramai dapat mengetahui maklumat, aturcara program, kempen, pengalaman, cara penyertaan sebagai sukarelawan dan dokumentasi program.

Informasi dan maklumat mengenai Impian Malaysia boleh dilayari di laman impianmalaysia.org.

Sementara itu Pengerusi Impian Malaysia Wan Hamidi Hamid berkata, selain menyalurkan informasi kepada orang ramai, lama web ini merupakan usaha bagi mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk turut sama membantu rakyat yang memerlukan.

“Impian Malaysia digerakkan dengan tujuan menyegarkan semula idea Malaysian Malaysia,” ujarnya.

Santuni orang Asal di Kampung Tual

Pada sidang media sama Setiausaha Politik Ketua Parlimen DAP Dyana Sofya Mohd Daud menyatakan beliau sangat berbesar hati dapat turut sama dalam program membantu Orang Asal di Kampung Tual.

“Saya bersama 20 orang sukarelawan ke Kampung Tual. Kami melalui jalan merah yang berlumpur hingga menyebabkan kereta tersekat dan tidak dapat bergerak.

“Kerana tidak ada cara lain, kami terpaksa berjalan selama satu jam untuk sampai ke lokasi kampung.

“Sebaik tiba di sana, kami disambut baik dan mereka sangat gembira dengan projek yang kami usahakan,” katanya menceritakan sedikit pengalamannya.

Menurut Dyana, selain membantu Orang Asal, projek ini sekaligus juga dapat mengupayakan sukarelawan agar lebih prihatin terhadap nasib sebahagian rakyat Malaysia yang terpinggir.

Sukarelawan Impian Malaysia Young Syefura Othman pula menyatakan, pengalaman menyertai program ‘Impian Malaysia’ memberikan peluang kepadanya mengenali lebih dekat cara hidup orang-orang Asal di Kampung Tual.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya bersama Orang Asal. Saya gembira kerana dapat membantu mereka bukan sahaja dalam soal kebersihan, tetapi perkara lain yang melibatkan keperluan hidup mereka,” ujarnya. – Roketkini.com