Berita

‘Tender terbuka’ projek jambatan Samarahan RM150 juta hanya pada kroni?

KUCHING, 21 OGOS: DAP Sarawak melahirkan kebimbangan berhubung projek pembinaan Jambatan Samarahan bernilai RM150 juta yang berkemungkinan diberi kepada syarikat kroni melalui ‘tender jemputan’ seperti berlaku dalam tiga projek lain di negeri itu.

“DAP akan memantau perkembangan Jambatan Samarahan untuk mengelak lagi pertukaran secara senyap kepada syarikat kroni oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya.

“Kami tidak mahu lagi insiden projek yang asalnya adalah tender terbuka bertukar menjadi ‘tender jemputan’,” kata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen dalam satu kenyataan.

Chieng Jen berkata, berdasarkan rekod-rekod lalu, banyak projek tender terbuka secara tiba-tiba ditukar tanpa diketahui puncanya.

Menurutnya, ini terbukti melalui tiga projek sebelum ini, iaitu pembinaan dan penyiapan Jalan Poi Pakej B Bahagian Kapit, Jalan Poi Pakej C Bahagian Kapit dan Jambatan Kanowit.

Malah, Pakatan Rakyat sebelum ini berulangkali membuat pendedahan berhubung anugerah projek pembinaan jalanraya di Sarawak yang dimonopoli syarikat Cahaya Mata Sarawak Berhad (CMSB), milik anak bekas Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib.

“Ketiga-tiga projek telah diiklankan oleh JKR dalam kebanyakan akhbar tempatan sebagai tender terbuka. Tetapi selepas ramai kontraktor mengemukakan dokumen, secara tiba-tiba ia ditukar kepada ‘tender jemputan’ oleh Kementerian Kewangan dengan hanya 10 kontraktor dijemput.

“Setiap satu daripada tiga projek ini dianggarkan bernilai RM100 juta. Daripada 10 kontraktor terbabit, terdapat tiga syarikat yang amat mencurigakan.

“Satu (syarikat) memiliki modal berbayar hanya RM500,000, syarikat kedua baru ditubuhkan pada tahun 2011 dan syarikat ketiga didaftarkan sebagai syarikat ‘pengangkutan’,” jelasnya.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu menegaskan, beliau juga akan membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu ini dalam masa terdekat.

“Saya telah memberi tempoh 30 hari kepada Kementerian Kewangan untuk menjelaskan mengenai tiga projek tersebut, namun sehingga kini tidak ada sebarang respons diberikan.

“Oleh itu, aduan rasmi akan diberi kepada SPRM minggu depan,” katanya. -Roketkini.com