Berita

10 peratus pegangan dalam MLNG4 tiada nilai berbanding royalti 20 peratus

KUCHING, 22 OGOS: Kerajaan Sarawak perlu konsisten dengan tuntutan 20 peratus royalti minyak dan gas, bukannya berpuas hati dengan jumlah kecil pegangan saham 10 peratus dalam Malaysia Liquefied Natural Gas Sdn Bhd (MLNG) 4.

“Saham 10 peratus tidak bermakna apa-apa jika dibandingkan dengan royalti 20 peratus.

“Kerajaan Negeri tidak boleh berpuas hati dan menganggap pegangan itu sebagai ganti tuntutan royalti,” kata , kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Chong Chieng Jen dalam satu kenyataan.

Menurut Chong, kerajaan negeri memegang 10 peratus saham dalam MLNG Sdn Bhd, Malaysia LNG Dua Sdn Bhd (MNLG 2), Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, pada 2012 syarikat itu masing-masing membayar dividen kepada kerajaan negeri Sarawak berjumlah RM350 juta, RM710 juta dan RM460.50 juta.

Jumlah itu jauh berbeza dengan jumlah royalti lima peratus pada tahun 2012 yang berjumlah RM2,625.56 juta.

“Melihat rekod ini, jelas hasil daripada 10 peratus pegangan hanyalah 1/10 daripada hasil daripada tambahan 15 peratus royalti (berdasarkan tuntutan 20 peratus).

“Malah, dengan menjadi pemegang 10 peratus saham, kerajaan Negeri juga diharapkan untuk menyumbang modal mencecah jutaan ringgit,” kata Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa.

Chong yang juga Ahli Parlimen Kuching ‘menasihatkan’ kerajaan BN Sarawak untuk tetap bertegas dengan tuntutan 20 peratus royalti, seperti yang diluluskan secara sebulat suara dalam sidang DUN pada Mei 2014.

“Jangan menjadi penny wise pound foolish (cermat dengan wang yang sedikit tetapi cuai dengan jumlah besar) dengan lari daripada tuntutan kita selepas mendapat pegangan saham ini,” katanya lagi. – Roketkini.com