Berita

Hari Perkabungan Negara: ‘Hari ini bukti kita semua anak Malaysia’ – Lim Guan Eng

GEORGE TOWN, 22 OGOS: Walaupun masih dibelenggu rasa sugul dan dukacita, rakyat seharusnya menjadikan tragedi hitam MH17 sebagai iktibar, terutama dalam memastikan keakraban dan perpaduan sesama rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan harapannya itu ketika berucap dalam Majlis Perkabungan Negara peringkat negeri pagi tadi.

Majlis tersebut diadakan di ruang legar Komtar, serta dihadiri barisan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang.

“Saya berharap kejadian ini dapat diambil iktibar dan pengajaran. Oleh itu, amat wajar untuk kita mengelak daripada sebarang kezaliman bagi memastikan keakraban dan perpaduan di antara semua bangsa dan kaum terutama di Malaysia (agar) dapat bersama ke arah pembangunan negeri dan Malaysia.

“Hari ini kita telah buktikan bahawa kita semua anak Malaysia yang sehati, sejiwa dan sedarah,” katanya lagi.

Sememangnya, kehilangan ini dikongsi seluruh rakyat Malaysia apabila seluruh negara bertafakur selama seminit pada jam 10.54 pagi tadi sebagai penghormatan terakhir kepada 20 jenazah korban tragedi itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bendera DAP akan dikibarkan separuh tiang di semua pejabat dan Pusat Khidmatnya di seluruh negara sempena Hari Perkabungan Negara, hari ini.

Guan Eng menyifatkan Hari Perkabungan Negara ini sebagai hari yang amat menyedihkan, bukan sahaja bagi keluarga mangsa, malah kepada seluruh rakyat.

“Majlis ringkas ini sebagai tanda simpati dan solidariti. Ratapan kesedihan ini turut disusuli kecaman keras sekali lagi terhadap pihak tidak berperikemanusiaan yang menembak MH17…menyebabkan 298 nyawa tidak berdosa menjadi mangsa kerakusan nafsu kezaliman akibat kemelut perebutan kuasa.

Secara khusus, Setiausaha Agung DAP itu merakamkan takziah kepada keluarga tiga mangsa asal Pulau Pinang; Tan Siew Poh , Loh Yan Hwa dan Fan Shun Po, yang turut menyertai majlis tersebut.

Tan dalam perjalanan pulang dari Belanda bersama-sama anaknya, Loh dan menantu, Fan yang tinggal di sana.

“Sehingga kini, hanya mayat Loh Yan Hwa telah ditemui dan masih berada di Amsterdam manakala dua lagi masih belum dijumpai. Adalah menjadi hasrat keluarga ini untuk ketiga-tiga mayat tersebut untuk dibawa pulang secara bersama ke Malaysia,” katanya lagi.

Sejumlah lima lagi anak Pulau Pinang yang terkorban, ialah Kapten Eugine Choo Jin Leong (pembantu juruterbang), Nor Shazana Mohd Salleh (pramugari), Sanjit Singh (pramugara), Azrina Yaakob (ketua pramugari) dan Elaine Teoh (graduan Melbourne University). – Roketkini.com