Berita

Kerajaan Pulau Pinang komited, rancang 22,575 rumah mampu milik

GEORGE TOWN, 23 OGOS: Kerajaan Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) komited dalam usahanya menyediakan perumahan jenis mampu milik kepada rakyat di negeri ini, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Menurutnya, sebanyak 12 projek perumahan mampu milik di Pulau Pinang dan Seberang Perai telah dirancang melibatkan pembinaan 22,575 unit rumah jenis kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik, bukti pimpinan Pakatan Rakyat menghayati dan melaksanakan keperluan rakyat di negeri ini.

“Selain daripada penyediaan perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah, kerajaan negeri memperkenalkan kategori baru perumahan iaitu perumahan jenis mampu milik di negeri Pulau Pinang,” kata Guan Eng pada pelancaran ‘Program Pemilikan Perumahan Mampu-Milik Mission Home Possible’ di KOMTAR hari ini.

Guan Eng turut mengumumkan penetapan had siling harga perumahan mampu milik di bahagian pulau pada kadar RM200,000, RM300,000.00 ke bawah dan RM400,000 ke bawah.

Manakala, had siling perumahan jenis mampu milik di bahagian Seberang Perai adalah pada kadar RM150,000 ke bawah, RM200,000 ke bawah dan RM250,000.00 ke bawah.

Beliau turut memaklumkan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri kini giat mendaftarkan permohonan bagi unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik di seluruh kawasan Parlimen di negeri itu.

“Ini boleh dilihat dengan komitmen sungguh-sungguh kita dari satu kawasan ke kawasan Parlimen yang lain di seluruh negeri untuk meningkatkan kesedaran rakyat akan projek yang telah dirancangkan kerajaan negeri,” ujarnya.

Dalam pada itu kata Guan Eng, beliau hampa dengan kegagalan kerajaan Pusat dalam menyediakan perumahan mampu milik di negeri ini melalui program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) sepertimana dijanjikan sebelum ini.

“Selaku rakyat yang membayar cukai pendapatan yang antara tertinggi di Malaysia, keperluan asas iaitu perumahan mampu-milik adalah sesuatu yang wajib kerajaan pusat sediakan

“Saya menyeru kerajaan pusat supaya tunaikan janjinya untuk menyediakan perumahan mampu milik di bawah program PR1MA di negeri Pulau Pinang.

Menurut Guan Eng selain dari PR1MA, kerajaan Pusat sebelum ini pernah mengumumkan pembinaan 20,454 unit Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) di seluruh Malaysia.

Namun, hanya 70 unit sahaja atau pun 0.34% daripada jumlah tersebut dikatakan akan dibina di Pulau Pinang, iaitu jumlah yang terkecil di seluruh negara.

“Apa yang mengejutkan ialah, walaupun tanah telah dikenalpasti oleh kerajaan negeri untuk tujuan pembinaan 70 unit PPRT di Mak Mandin, Seberang Perai, sehingga sekarang 70 unit PPRT tersebut pun masih belum dibina.

“Ini adalah langsung tidak boleh diterima. Kerajaan Pusat seharusnya tidak menganaktirikan Pulau Pinang dalam penyediaan PPRT. Ini adalah merupakan kewajipan dan tanggungjawab Kerajaan Pusat kepada rakyat Pulau Pinang yang membayar antara hasil cukai yang tertinggi di Malaysia,” tegasnya. – Roketkini.com