Wawancara

Utam bukan landasan anak muda jadi YB (Bahagian II)

Sambungan dari bahagian I: Intelektualisme dan aktivisme perlu ‘dikahwinkan’ 

Pesta Ilmu Utam 2014 selamat berlangsung pada hujung minggu yang lalu. Acara dua hari itu berjaya menghimpunkan wakil aktivis wanita dan gerakan anak muda, malah para peserta sendiri, yang datang daripada pelbagai bidang dan pemikiran.

Dalam bahagian kedua ini, Ashraf Muiz Roslan dan Imran Rasid bercerita tentang peranan budaya intelektual, gerakan mahasiswa dan anak muda, politik isu serta peranan sayap pemuda dalam parti politik.

Antara kritikan yang dihalakan kepada wacana intelektual adalah ia sukar, maka sukar menarik minat. Malah ada yang mengatakan ia membuang masa kerana tidak membawa perubahan kepada masyarakat. Jawapan kalian?

Imran Rasid (I): Tamadun bermula dengan wacana, dengan terbinanya landasan intelektual. Ini berlaku dalam mana-mana tradisi pembangunan masyarakat, sama ada di Eropah atau Asia. Ini masih kurang di Malaysia.

Utam cuba bawa khazanah intelektual yang ada untuk dibiasakan dalam perbincangan di sini. Mungkin tak jelas kesannya kepada politik dan sosial pada masa kini. Tapi dengan kematangan berfikir dan berhubung dengan idea yang beragam, harapannya pelbagai idea baru pula dapat dilahirkan untuk memandu arah pada politik dan masyarakat sivil pada masa akan datang.

Perlu difahami, wacana memang sukar untuk menjadi ‘pop’. Macam (ahli falsafah) Slavoj Zizek, kita tak akan faham ceramah beliau jika tak ada asas dalam psikoanalisis. Nature of knowledge itu sendiri bukan hal yang mudah. Di situ datangnya terjemahan. Namun kita menerima isu ini sebagai dilema yang perlu ditangani. Paling tidak, anak muda sendiri perlu ‘tone down’ ketika menulis.

utam2Ashraf Muiz (M): Sebab itu kru Utam sendiri menterjemah esei-esei, terutama dari Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Program diskusi juga dibuat dalam suasana santai.

Sebelum ini pun wujud banyak perkumpulan intelektual dan anak muda, apakah pandangan serta kritikan, jika ada?

M: Salah satu sebab (kelemahan mereka) adalah bahasa. Masih banyak yang panggil orang luar dan gunakan bahasa Inggeris. Utam jadikan bahasa Melayu sebagai perantara.

I: Jika dalam gerakan anak muda dan mahasiswa, seakan tiada interaksi wacana antara mereka. Seperti golongan Islamis dan Sosialis, perbincangan tertakluk dalam kerangka ideologi masing-masing – tidak saling berhubung. Dalam Pesta Ilmu, kita ingin himpunkan kepelbagaian ini dalam satu wacana.

M: Memang tak banyak, malah mungkin tak ada langsung, wacana dalam gerakan anak muda dan mahasiswa. Kalau pun dulu ada, kini sudah mati. Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia), misalnya. Intelektualisme Abim sudah mati sejak pemimpin kanannya ramai masuk politik.

Tidak sedikit yang terlalu terpengaruh dengan parti politik, bukan?

M: Jasa besar gerakan-gerakan ini adalah banyak ‘aksi’ (dalam erti kata turun ke jalanraya dan mendekati masyarakat). Ini kita akui. Namun masalah timbul apabila ‘aksi’ ini tidak didasari fokus dan ideologi yang jelas. Akhirnya, mereka diperalatkan politik. Ada gerakan ini yang hanya melaungkan isu yang dibawa parti. Utam bukan landasan untuk anak muda dan mahasiswa yang nak jadi YB.

I: Kita ingin bawa wacana yang bebas, bukan untuk mengabsahkan pendirian parti.

Ada yang bermatian menentang Akta Hasutan, namun membisu apabila (presiden Isma) Abdullah Zaik didakwa dengan akta tersebut. Retorik perjuangan untuk semua akhirnya berpihak juga.

Bagaimana kalian melihat Pakatan Rakyat, sebelum dan selepas 2008?

M: Sebelum 2008, ramai yang simpan harapan yang amat besar kepada Pakatan kerana sudah tak tahan dengan BN. Namun, selepas itu, kita boleh nampak kelemahan demi kelemahan. Baru-baru ini isu Menteri Besar Selangor lah.

Dan paling ketara, apa yang kerajaan Selangor buat untuk seni budaya, walaupun dengan rizab yang begitu banyak? Saya tak nampak ada apa-apa usaha. Tengok sahaja (Sasterawan Negara) Pak Samad yang sangat pro (Pakatan) dan jadi jurucakap Bersih. Layanan mereka setakat itu sajalah.

I: Kita faham, sokongan itu reaksi rakyat kerana bencikan BN. Dasar dan idea jatuh nombor dua. Jadi nak harap lebih sangat tak boleh lah.

Macam yang saya tekankan, parti politik di Malaysia tiada ideologi, dalam erti kata kerangka fikir yang jelas tentang sesuatu isu. Contohnya apabila seseorang pemimpin itu ulas isu ekonomi, ia adalah analisis beliau sendiri, bukan berdasarkan apa yang parti pegang.

utam3Masih relevankah ideologi dalam parti politik dalam abad ke-21?

I: Memang, di UK pun tiada parti yang jelas isytihar mereka berpegang dengan idea Marx. Namun setiap perbincangan dan propaganda yang dibawa, arahnya jelas.

Parti Konservatif misalnya, mereka sendiri ada banyak unit penyelidikan. Setiapnya ada pemikiran masing-masing, dan saling bersaing untuk mengangkatnya menjadi dasar, serta mengkritik parti sendiri. Di sini tak berlaku. Kalau ada cuma satu, itu pun sebagai mekanisme untuk brainstorm bagaimana nak mengabsahkan pendirian parti.

Seperti negara dunia ketiga yang lain, politik kita berdasarkan isu. Tapi apabila kita sudah menjadi negara maju, isu seperti rasuah dan tadbir urus akan berkurang dan kita akan mula bercakap tentang masa depan. Kita perlukan perdebatan ideologi untuk merangka arah negara pada masa depan.

Setakat mana pencapaian sayap pemuda parti politik, terutama dalam peranannya kepada anak muda?

M: Angkatan Muda KEADILAN bagi saya lebih sibuk dalam mainan politik dalaman. Nak naikkan orang itu, nak jatuhkan orang ini. Tak ada masa untuk bagi blueprint… apa rancangan mereka untuk anak muda.

I: Umno di bawah Khairy Jamaluddin pula lebih bersifat populistik. Keluar radio macam selebriti. Terlalu superfisial, tanpa membawa apa-apa perubahan mendasar. Kelab Mahasiswa Umno di UK pun lebih banyak habiskan dana untuk acara tidak berfaedah. Buat majlis makan-makan di tempat mahal. Duit habis di situ, sedangkan boleh dimanfaatkan contohnya dengan anjur program diskusi yang menampilkan intelektual di sana.

Pemuda DAP pula, saya tak pasti mereka buat apa.

Namun PAS paling menonjol dari segi engagement dengan anak muda, melalui sistem pengkaderan mereka. Walaupun ada yang kita tak setuju tentang ke mana PAS nak bawa anak muda melalui sistem itu. Sekurang-kurangnya, untuk menjadikan manusia lebih baik melalui usrah, tak ada masalah. – Roketkini.com