Berita

Rayer tidak terkejut, hanya seorang lagi mangsa Akta Hasutan BN

GEORGE TOWN, 26 OGOS: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer berkata, beliau hanyalah seorang lagi mangsa kerajaan Umno-BN yang menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk menekan pemimpin Pakatan Rakyat.

“Saya tidak terkejut dengan tuduhan ini. Saya percaya ini adalah sebahagian daripada siri pertuduhan Akta Hasutan yang dijatuhkan ke atas ahli politik Pakatan oleh kerajaan Umno BN yang jelas mempunyai agenda politik,” katanya lagi ketika dihubungi Roketkini.

Beliau adalah nama terbaru dalam senarai panjang pemimpin Pakatan Rakyat yang didakwa di bawah akta lapuk itu, antaranya Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh), N Surendran (Padang Serai), Tian Chua (Batu), Nizar Jamaluddin (Bukit Gantang) dan Khalid Samad (Shah Alam).

Ternyata tindakan itu bertentangan dengan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2012 untuk memansuhkan akta itu yang asalnya digunakan untuk melawan komunis.

Walaupun belum dimaklumkan sebab pertuduhan, ia dipercayai berikutan kenyataan ‘Umno celaka’ ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Mei lalu.

“Saya hanya dimaklumkan oleh polis untuk hadir ke mahkamah esok. Belum jelas pertuduhan itu tentang apa,” katanya lagi.

Rayer turut memaklumkan, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ram Karpal Singh akan mewakilinya dalam kes tersebut. – Roketkini.com